
Tiga pemimpin diuar-uarkan mahu mencabar timbalan presiden Warisan itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) – bakal presiden Upko Ewon Benedick, Naib Presiden Star Kenny Chua dan Naib Ketua Pemuda Bersatu Ceasar Mandela Malakun.
Mandela yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU 2018 tewas kepada Leiking dengan majoriti 23,473 undi.
Lee Kuok Tiung daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, walaupun penduduk mempersoalkan sumbangan Leiking di Penampang, namun popularitinya sangat jauh lebih tinggi berbanding tiga pemimpin terbabit, yang dilihat kurang berpengaruh.
Menurutnya, Upko sebenarnya mempunyai lebih ramai pemimpin tempatan untuk diketengahkan berbanding Ewon yang berasal dari Kota Belud, antaranya bekas Ahli Parlimen Penampang Donald Mojuntin atau Timbalan Ketua Upko Penampang Carl Moosom.
“Salah satu isunya juga belum ada pemimpin KDMR (Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus) yang menonjol di Penampang,” katanya kepada FMT.
“Buat masa ini, Leiking dilihat sebagai antara barisan pelapis pemimpin KDMR dan sudah pastinya pengundi ingin memastikan bakatnya terus diasah untuk menjadi pemimpin berkaliber pada masa depan.”
Lee berkata, isu banjir dan pembangunan kemudahan seperti hospital di Penampang dijangka menjadi bahan kempen, selain pembinaan masjid pertama di daerah itu yang dituntut pengundi beragama Islam.
Bagaimanapun, Ramli Dollah daripada Unit Kajian Geopolitik dan Elektoral Sabah (GeoPes) UMS pula berpendapat, tidak mustahil buat Ewon yang juga ADUN Kadamaian mencipta kejutan menewaskan Leiking.
Beliau berkata, ini kerana Penampang pernah menjadi kubu kuat Upko ketika bekas ketua menteri dan menteri persekutuan Bernard Dompok mengetuai parti itu sebelum ditewaskan Leiking pada PRU 2013.
Leiking ketika itu bertanding atas tiket PKR dan menewaskan Dompok dengan majoriti 10,216 undi.
“Saya rasa walaupun sukar tetapi tidak mustahil untuk Ewon menang memandangkan Penampang sebelum ini merupakan kubu kuat Upko,” kata Ramli.
Beliau menjangkakan isu bakal dibangkitkan pengundi di Penampang antaranya bagaimana pemerintah baharu mampu memudahkan rutin seharian penduduk seperti isu kesesakan lalu lintas dan perniagaan.