Ah Ming, pulanglah ke pangkuan papa

Ah Ming, pulanglah ke pangkuan papa

Kim Ming berusia lima tahun ketika diculik di sebuah restoran di Wisma Indah, Jalan Tun Razak enam tahun lalu.

Lam Ah Choy menunjukkan gambar anak lelakinya Kim Ming yang hilang enam tahun lalu.
PETALING JAYA:
Kasih sayang seorang bapa tidak mengenal batas dan Lam Ah Choy hanya mahu memeluk anak sekali lagi serta melihat keadaannya baik-baik sahaja.

Sudah enam tahun anak lelakinya, Kim Ming yang ketika itu berusia lima tahun hilang dari restoran di Pudu, Kuala Lumpur.

“Kita pun tidak tahu dia di mana, siapa menjaganya dan ada makan ke? Cuma yang satu sahaja saya tahu dia sudah lima tahun tidak pergi sekolah. Ini semua amat menyedihkan saya,” kata bapa berusia 63 tahun itu sambil bergenang air matanya.

Ah Choy sering mengingati dan sesekali bermimpi bertemu anaknya yang dipanggil Ah Ming, namun hatinya sedih apabila tersedar kerana menanggung kerinduan yang terlalu mendalam.

Enggan berputus asa, Ah Choy baru-baru ini menyerahkan memorandum kepada polis yang menggesa pasukan petugas dibentuk untuk menyiasat kehilangan Kim Ming.

Beliau juga telah memfailkan 12 laporan tetapi sehingga kini masih belum ada perkembangan.

Gelagat dua beranak ketika bersiar-siar di luar.

Kim Ming dipercayai diculik ketika bersarapan di sebuah restoran di Wisma Indah di Jalan Tun Razak.

“Saya pergi ke kereta saya untuk mengambil barang, apabila saya kembali dia sudah tiada,” kata Ah Choy kepada FMT.

Kecewa kerana tidak banyak perkembangan, Ah Choy turut menyiasat sendiri dan berusaha menyebarkan berita kehilangan anaknya kepada seramai orang yang mungkin.

Dia berharap usaha itu tidak sia-sia. Harapannya suatu hari nanti mungkin Kim Ming membaca kisah kehilangannya di media dan mencarinya.

“Ah Ming masih kanak-kanak jadi saya rasa dia tidak sedar apa yang berlaku, tetapi saya pasti dia sedang mencari saya (bapanya). Melainkan mungkin ada orang beritahu bapa kamu sudah meninggal dunia atau saya tidak mahunya lagi,” katanya.

Ah Choy yakin anaknya kini yang usianya hampir remaja tidak akan melupakannya.

Ah Choy berkata dia melakukan segalanya untuk Kim Ming, termasuk menukar lampin, memandikan dan memberinya makan.

“Saya melakukan segalanya, tukar lampin, mandikannya, pakaikannya dengan baju. Malah, ibunya sendiri pun tidak dapat untuk memberinya makan dan dia akan mengamuk. Tetapi kalau saya beri, dia akan makan,” katanya.

Ah Choy berkata dia tidak akan memaafkan orang yang menculik anaknya.

“Ini tidak adil untuk dan saya berharap mereka yang melarikan anak saya ditangkap dan dihukum,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.