Tempoh kempen 14 hari cukup, kata bekas pengerusi SPR

Tempoh kempen 14 hari cukup, kata bekas pengerusi SPR

Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, kebanyakan parti, terutamanya yang kecil, tidak akan memilih tempoh kempen lebih lama kerana ia memakan kos tinggi.

Bekas pengerusi SPR Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, lebih panjang tempoh kempen pilihan raya, lebih tinggi kos terpaksa ditanggung parti.
PETALING JAYA:
Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Rashid Abdul Rahman percaya tempoh 14 hari sudah memadai untuk parti berkempen bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Berdasarkan pengalamannya, katanya, kebanyakan parti, terutamanya yang kecil, tidak akan memilih tempoh kempen yang lebih lama kerana ia memerlukan kos yang tinggi.

“Mahal untuk adakan kempen pilihan raya. Lebih lama, lebih tinggi kos terpaksa ditanggung parti,” katanya kepada FMT.

Rashid berkata, tempoh kempen yang lebih panjang akan memberi manfaat kepada parti-parti besar yang mempunyai lebih banyak sumber dan kewangan; tempoh 14 hari itu “cukup adil untuk semua orang”, katanya.

Ditanya mengenai dakwaan kurang ketelusan dari segi prosedur operasi standard (SOP) SPR untuk menangani banjir semasa pilihan raya, beliau berkata, suruhanjaya itu perlu mendedahkan rancangannya demi kepentingan awam.

“Saya rasa SPR telah membuat persiapan, tetapi tidak mengumumkannya. Pada zaman saya, kami mempunyai rancangan kontigensi untuk banjir atau kejadian lain yang akan menjejaskan kelancaran pilihan raya.

“Tetapi SPR harus bersuara dan lebih meyakinkan (orang ramai). Orang ramai perlu dididik (mengenai SOP),” katanya.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh semalam mengumumkan PRU15 akan diadakan pada 19 Nov, manakala pengundian awal pada 15 Nov.

Beliau berkata, tempoh berkempen adalah selama 14 hari selepas semua calon diketahui pada hari penamaan calon pada 5 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.