Lanjut Akta Covid-19 bantu perniagaan terjejas, gesa persatuan

Lanjut Akta Covid-19 bantu perniagaan terjejas, gesa persatuan

Gabungan Persatuan-persatuan Perniagaan Malaysia berkata, perniagaan terkesan dengan Covid-19 tidak akan mendapat perlindungan khas lagi, jika Akta Covid-19 tidak dilanjutkan.

Gabungan Persatuan-persatuan Perniagaan Malaysia berkata, masih banyak perniagaan gagal mengukuhkan aliran kewangan akibat keadaan ekonomi semasa.
PETALING JAYA:
Gabungan Persatuan-persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) menggesa kerajaan melanjutkan Akta Langkah-langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 untuk terus memberi perlindungan kepada sektor perniagaan terkesan dengan pandemik itu.

Pengerusi FMBA, Abdul Malik Abdullah berkata, moratorium khas juga perlu diperkenalkan kerajaan bagi memberi ruang kepada sektor perniagaan mengukuhkan kembali aliran kewangan perniagaan yang masih tidak pulih akibat keadaan ekonomi semasa.

“Apabila akta tersebut dihentikan, perniagaan yang terkesan dengan pandemik Covid-19 tidak akan mendapat perlindungan khas terhadap pemiutang mereka lagi.

“Ini terbukti apabila akta itu hampir ditarik balik tahun lepas, wujudnya institusi perbankan atau kewangan yang mula menekan perniagaan untuk mendapatkan kembali amaun pinjaman terhutang, tanpa mempertimbangkan keadaan ekonomi semasa,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, ada yang mengambil langkah mengisytiharkan muflis ke atas pengarah syarikat, sehingga menjejaskan skor kedudukan kewangan perniagaan tersebut.

“Dengan adanya Akta Covid-19, institusi berkenaan tidak boleh sewenang-wenangnya mengisytiharkan muflis ke atas perniagaan tersebut, malah pembayaran boleh ditangguhkan di bawah akta itu.

“Ia juga memberi perlindungan khas dengan membolehkan mereka menangguhkan pelaksanaan kontrak persendirian atau bon pelaksanaan seperti dalam Jadual Seksyen 7 – Senarai Kategori Kontrak dalam akta berkenaan.”

Akta Covid-19 berkuat kuasa pada 2020 bagi membantu masyarakat dan syarikat terkesan dari aspek ekonomi akibat penularan Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.