
Perdana Menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob pada 13 Okt lalu mengumumkan laporan jawatankuasa khas yang menyiasat dakwaan dibuat Thomas dalam bukunya, “My Story: Justice in the Wilderness” akan dinyahklasifikasikan.
Bagaimanapun, semakan oleh FMT gagal menemui dokumen yang dinyahklasifikasikan itu dalam talian. Pautan kepada dokumen terbabit oleh seorang menteri tidak dapat dibuka.
Ketika dihubungi, seorang pegawai kerajaan berkata, soalan mengenai perkara itu harus dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
Selasa lalu, Malaysiakini melaporkan Ismail dalam perhimpunan Barisan Nasional (BN) di Bagan Datuk berkata, jentera BN perlu memanfaatkan laporan yang dinyahklasifikasikan itu.
Buku “My Story: Justice in the Wilderness” itu diterbitkan Januari 2021.
September lalu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mendedahkan Ismail mengarahkan Thomas disiasat kerana menghasut dan pelbagai kesalahan lain seperti yang dicadangkan dalam laporan pasukan petugas khas itu.
Menurut PMO, ia termasuk kemungkinan pelanggaran Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 124I dan 203A Kanun Keseksaan berkaitan penyebaran laporan palsu serta pendedahan maklumat secara salah.
Satu dokumen yang didakwa salinan laporan sulit itu bocor di Internet pada 6 Okt lalu. Bukit Aman dilaporkan sedang menyiasat kebocoran berkenaan.