Tambahan RM300 juta untuk PRN 6 negeri, kata bekas bos SPR

Tambahan RM300 juta untuk PRN 6 negeri, kata bekas bos SPR

Kos itu bagi menampung petugas dan logistik serta keperluan bagi pengundian seperti penambahan saluran mengundi, kata bekas timbalan pengerusi SPR.

Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang tidak membubarkan DUN selaras pembubaran Parlimen bagi memberi laluan PRU15.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memerlukan perbelanjaan tambahan kira-kira RM300 juta untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) berasingan di enam negeri memandangkan mereka tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan Parlimen.

Bekas timbalan pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar, berkata jumlah RM300 juta ia adalah jangkaan bajet minimum yang perlu diperuntukkan kerajaan bagi menampung kos petugas dan logistik serta keperluan bagi pengundian seperti penambahan saluran pengundi.

Katanya, peruntukan tambahan itu diperlukan untuk PRN melibatkan negeri Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang tidak membubarkan DUN selaras pembubaran Parlimen bagi memberi laluan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Peruntukan tambahan juga perlu diberikan kerajaan kepada pihak berkuasa yang bertugas ketika pilihan raya, termasuk polis, menggantikan kerosakan dari segi logistik SPR ketika PRU15 yang digunakan untuk PRN dan sebagainya.

“Jangkaan RM300 juta itu adalah kos paling minimum dengan mengambil kira beberapa keperluan yang mungkin boleh diguna semula berikutan jarak PRU15 dan PRN yang tidak begitu panjang,” katanya menurut Berita Harian.

SPR sebelum ini memaklumkan, pihaknya menganggarkan kos bagi pelaksanaan PRU15 adalah RM1.01 bilion iaitu dua kali ganda berbanding kos mengadakan PRU14 sekitar RM500 juta.

Hanya negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) – Pahang, Perlis dan Perak – yang membubarkan DUN manakala Sabah, Sarawak Melaka dan Johor belum mencapai tempoh matang kerana baru mengadakan PRN sebelum ini.

Wan Ahmad juga berkata, selain implikasi kos, pelaksanaan PRN secara berasingan juga dikhuatiri menyebabkan peratusan keluar mengundi menurun dengan drastik.

Katanya, pengundi kebiasaannya tidak akan menunaikan tanggungjawab itu dua kali dalam tempoh singkat kerana turut membabitkan perbelanjaan tambahan kepada mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.