70% peningkatan pengundi di Keningau mengejutkan, kata Kitingan

70% peningkatan pengundi di Keningau mengejutkan, kata Kitingan

Presiden STAR itu berkata, jumlah pengundi meningkat daripada 51,777 orang pada 2018 kepada 87,371 orang tahun ini.

Presiden STAR, Jeffrey Kitingan mahu pihak berkuasa menyiasat peningkatan ‘amat luar biasa dan meragukan’ jumlah pengundi di kawasan Parlimennya, Keningau. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Peningkatan jumlah pengundi yang sangat luar biasa melebihi 70% di kawasan Parlimen Keningau sangat mengejutkan, kata Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kitingan.

Memetik daftar pemilih terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Sabah, katanya, terdapat 51,777 pengundi di Keningau pada 2018 dan ia meningkat kepada 87,371 orang tahun ini.

“Ini amat luar biasa dan juga meragukan,” katanya dalam kenyataan.

Kitingan yang juga penyandang Parlimen Keningau berkata, beliau dimaklumkan jumlah pengundi berusia 18 hingga 21 tahun di kawasan Parlimen itu kurang daripada 8,000 orang.

“Adalah mustahil kita boleh mencapai peningkatan sebanyak 30,000 pengundi dalam tempoh kurang lima tahun, macam ada yang tidak betul,” katanya.

Ini menyusul gesaan Parti Progresif Sabah (SAPP) mengadakan audit ke atas peningkatan mendadak jumlah pengundi di negeri itu selepas daftar pemilih terbaharu SPR dikeluarkan.

Presiden SAPP, Yong Teck Lee berkata, jumlah pengundi di Sabah meningkat daripada 1,064,686 orang pada 2008 kepada 1,638,806 orang tahun ini, peningkatan sebanyak 53.9%.

Beliau mengesyaki peningkatan luar biasa itu disebabkan sejumlah besar pengundi yang dihasilkan skandal Projek IC.

Yong dilaporkan mendakwa, berdasarkan semakan awal daftar pemilih 2022, kebanyakan pengundi baharu itu berusia 30 tahun ke atas, dengan ada dalam kalangan 60-an, justeru beliau curiga ramai orang pertengahan umur baru mendaftar sebagai pengundi.

Kitingan berkongsi kebimbangan Yong dan menggesa pihak berkausa segera menyiasat perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.