Tak berlaku kejadian Bella terkena air panas termos, kata pegawai penyiasat

Tak berlaku kejadian Bella terkena air panas termos, kata pegawai penyiasat

Inspektor Suhaili Mahad dari Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kuala Lumpur berkata, termos itu yang dijadikan barang kes, berada dalam keadaan baik dan tiada kesan pecah.

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali berdepan pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi antara Februari dan Jun 2021.
KUALA LUMPUR:
Seorang pegawai penyiasat hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, kejadian termos berisi air panas yang didakwa tertumpah sehingga menyebabkan kecederaan pada tubuh remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella tidak pernah berlaku.

Inspektor Suhaili Mahad, 31, dari Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur berkata, ini kerana, termos itu yang dijadikan barang kes, berada dalam keadaan baik dan tiada kesan pecah.

“Hasil siasatan polis mendapati termos itu tidak jatuh sebab tidak ada kesan kemek,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali didakwa mengabai dan menganiaya remaja berusia 13 tahun itu.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-19 itu berkata, tiga penghuni Rumah Bonda dikenali sebagai Yasmin, Balqis dan Aida serta Siti Bainun sendiri seolah-olah membaca “skrip” sama berhubung kejadian termos berisi air panas yang didakwa jatuh dan tertumpah ke atas Bella.

“Persamaannya ialah mereka menceritakan perkara sama, iaitu Bella dikejar dari belakang oleh Balqis kerana berebut ‘jajan’ (makanan ringan) dan kemudian Bella tertarik termos lalu air panas tertumpah pada badannya.

“Namun, apabila saya menemu bual seorang doktor yang merawat Bella di bahagian kecemasan, doktor itu mengesahkan terdapat kecederaan lama dan baharu pada badan remaja itu. Jadi, saya percaya apa yang disampaikan mengenai kejadian termos tertumpah itu tidak berlaku.”

Keterangan Suhaili itu bagaimanapun dibantah peguam, Mohammad Farhan Maaruf yang mewakili Siti Bainun, atas alasan saksi bukan pakar untuk memberi dapatan berhubung keadaan termos tersebut.

Zilfinaz kemudian berkata, Suhaili menyiasat semua saksi, jadi itu dapatannya selaku pegawai penyiasat.

Farhan: Suhaili bukan seorang pakar untuk menentukan kerosakan termos berkenaan.

Zilfinaz: Tidak perlu pakar untuk lihat apa-apa kerosakan sebab kita boleh lihat termos itu sendiri, mesti ada kerosakan jika jatuh.

Hakim Izralizam Sanusi menolak bantahan pembelaan dan merekodkan jawapan Suhaili.

Yasmin Nahar Mahmood, 19, dalam keterangan sebelum ini memberitahu mahkamah, kecederaan melecur yang dialami Bella disebabkan tumpahan air termos, bukannya mesin penapis air.

Suhaili juga memberitahu mahkamah, beliau hanya menjalankan siasatan dari sudut pengabaian dan mengakui tiada keterangan lanjut daripada saksi berkaitan penderaan.

Beliau juga mengakui tidak merampas telefon bimbit Siti Bainun dan hanya mengambil telefon bimbit milik Zurianty Sudin dan Hani Azura, yang merupakan rakan tertuduh.

Farhan: Sekiranya Puan Suhaili rampas telefon bimbit Siti Bainun dan serahkan kepada polis, maka akan ada dua versi boleh dibandingkan yang mungkin membantu siasatan.

Suhaili: Tidak setuju.

Siti Bainun, 30, berdepan dua pertuduhan, iaitu mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Perbicaraan di hadapan Izralizam bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.