
Beliau mengesahkan semua 11 tertuduh yang didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur minggu lalu merupakan suspek dalam kes penculikan itu bagi mendapatkan maklumat mengenai perisian untuk menggodam telefon bimbit.
“Polis masih meneruskan siasatan dan menunggu proses sebutan semula kes pada 15 Dis ini.
“Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan mengelirukan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Jumaat lalu, 10 lelaki dan seorang wanita berusia 21 hingga 42 tahun itu didakwa secara niat bersama menahan Omar ZM Albelbaisy Raeda untuk mendapat ganjaran, iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Jalan Mayang pada 10.40 malam 28 Sept lepas, mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Bernama melaporkan Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Palestin mengucapkan terima kasih kepada polis dan pihak berkuasa Malaysia lain dalam usaha menyelamatkan rakyatnya yang diculik.
Terdahulu, media tempatan melaporkan mangsa berusia 31 tahun itu diselamatkan sehari selepas diculik sekumpulan rakyat tempatan yang dipercayai direkrut agensi perisikan Israel, Mossad bagi membantu rejim Zionis memburu anggota Hamas di Malaysia.
Mangsa diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang, Beranang di Selangor serta Melaka dari 29 Sept hingga 4 Okt lalu.