
Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) perlu memberi penjelasan terperinci mengenainya dan bayaran kepada kontraktor perlu diselesaikan.
“Mesti ada sebab bayaran tersebut tidak dijelaskan, dan walaupun selepas projek tersebut siap, kita harus melihat sama ada ia memenuhi kepuasan kementerian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvensyen sempena mesyuarat agung tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM).
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu dakwaan hutang yang belum dibayar kepada sebilangan sub-kontraktor projek DASH berjumlah lebih RM80 juta.
Perkara itu menyebabkan kalangan sub-kontraktor yang terlibat dengan projek berkenaan mengalami kesukaran.
Lebuhraya DASH sepanjang 20.1km dengan 13 persimpangan keluar masuk dibuka mulai 12.01 tengah malam Jumaat lalu.
Persimpangan itu ialah Puncak Perdana, Alam Suria, Denai Alam, Kampung Melayu Subang, Pinggiran Subang, Subang Dua, Subang Airport, RRIM (Kwasa Damansara), Surian, Seksyen 5 Kota Damansara, Sunway Damansara, Damansara Perdana dan Penchala.
Ia menghubungkan tiga lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT).