Tiada kenaikan tol tahun depan, kerajaan tanggung pampasan RM591.56 juta

Tiada kenaikan tol tahun depan, kerajaan tanggung pampasan RM591.56 juta

Keputusan itu selaras kenyataan perdana menteri pada 23 Julai lalu yang menjamin tiada kenaikan kadar tol bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.

highway toll
Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata tiada kenaikan tol bagi 10 lebuh raya utama pada 2026. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan kadar tol sedia ada sepanjang 2026 bagi 10 lebuh raya utama di seluruh negara, walaupun perlu menanggung pampasan berjumlah RM591.56 juta.

Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, berkata keputusan itu selaras kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu menerusi pengumuman penghargaan untuk rakyat, yang mana kerajaan setuju supaya mereka terus menikmati kadar tol sedia ada tanpa sebarang kenaikan.

Katanya, keputusan itu kemudian dipersetujui secara retrospektif dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Dis lalu bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan dasar tersebut.

“Langkah ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya pengguna lebuh raya, dengan memastikan tiada sebarang kenaikan kadar tol dilaksanakan sepanjang tahun 2026.

“Walaupun kerajaan perlu menanggung implikasi kewangan yang besar dengan pampasan berjumlah RM591.56 juta bagi tahun 2026, kerajaan tetap memilih untuk mendahulukan kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Lebuh raya terlibat ialah Lebuhraya Cheras–Kajang (Grand Saga), Lebuhraya KL–Kuala Selangor (Latar), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB), Lebuhraya Senai–Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Kuala Lumpur–Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).

Nanta berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan Madani dalam menjamin kesejahteraan rakyat serta memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.

Katanya, KKR akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pengurusan lebuh raya negara kekal mampan, efisien dan selari aspirasi kerajaan yang mengutamakan rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.