
Bekas timbalan menteri undang-undang itu berkata, beliau sentiasa bersedia untuk mempertahankan kerusi berkenaan, jika dicalonkan semula.
“Sejujurnya, saya sentiasa bersedia, insya Allah jika dicalonkan semula oleh parti kerana saya tahu saya masih mampu untuk berkhidmat dan saya juga bersedia, insya Allah jika sebaliknya yang berlaku.
“Saya percaya kepada kebijaksanaan atau ‘wisdom’ Amanah yang sudah tentu menjadikan faktor ‘winnability’ (boleh menang) sebagai faktor utama dan dominan untuk dipilih menjadi calon, setakat saya selalu diberitahulah. kecuali polisi itu telah bertukar sekarang,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, FMT hari ini melaporkan, Hanipa besar kemungkinan digugurkan sebagai calon PRU15 dan digantikan pemimpin Amanah yang lain.
Menurut sumber, parti itu bercadang mengetengahkan Ketua Wanita Amanah, Aiman Athirah yang pencalonannya dijangka diumum dalam tempoh terdekat.
Walaupun Hanipa dikatakan sedia menerima keputusan parti, “majoriti” jentera parti dan penyokong di kawasan itu menentang rancangan mencalonkan Aiman, dakwa sumber yang enggan dinamakan.
Sumber itu berkata, Amanah bercadang menggugurkan Ahli Parlimen dua penggal itu atas alasan kesihatan.
Mengulas lanjut, Hanipa berkata, beliau tidak mahu mengulas laporan berita berkenaan kerana itu bukan cara beliau dilatih dalam politik.
“Mungkin ramai tidak tahu dan tidak sedar bahawa dalam sejarah menjadi calon PRU, saya – seperti Khalid Samad, hanya menang kali pertama selepas lima kali bertanding di PRU dan empat kali kalah, hatta pernah hilang deposit semasa PAS meminta saya menjadi calon kali pertama di Johor.
“Saya hampir ingin tergelak apabila dilaporkan dalam media kononnya penolakan parti ke atas pencalonan saya kerana faktor kesihatan.
“Ya, benar saya pernah dua kali ‘collapsed’ (tumbang) semasa menjalankan tugas. Maka atas dasar itu, dispekulasikan sekarang saya pun tidak sihat.”
Katanya, agak lucu beliau yang dikatakan tidak sihat itu boleh mengambil bahagian agak aktif berbahas di Parlimen, apatah lagi perbahasan hampir semua rang undang-undang menyentuh pelbagai “genre” undang-undang.
“Saya yang dikatakan ‘tidak sihat’ ini, ironinya diminta mewakili Amanah dalam jawatankuasa pilihan khas bipartisan yang diumumkan oleh bekas perdana menteri Umno bagi menggubal undang-undang anti lompat parti. Agak banyak dan kerap mesyuarat yang diadakan oleh jawatankuasa pilihan khas itu.
“Insan yang dikatakan tidak sihat ini, ironinya hampir setiap minggu turun ke Parlimen Sepang untuk bertemu rakyat. Facebook Pusat Khidmat Parlimen Sepang yang merekodkan aktiviti saya di Sepang semasa menjadi MP (Ahli Parlimen) adalah ‘eksibit’ P-1″ saya.”
Justeru, beliau tidak rasa pemimpin Amanah yang amat berpengalaman terlalu naif dalam isu pemilihan calon ingin terlibat dalam uji kaji proses pencalonan pada PRU15 yang disifatkan presiden Umno sebagai “ibu segala pilihan raya”.