
Katanya, walaupun ada pandangannya secara “kebetulan selari” dengan apa yang diperkatakan PH sebelum pilihan raya umum ke-14, pada 2018, beliau menegaskan “tidak pernah” menjadi menyokong gabungan itu.
“Sebelum PRU14, apa yang saya tulis secara kebetulan selari dengan apa yang dibicarakan oleh ahli politik PH, tapi saya tidak pernah menyokong mereka,” katanya dalam wawancara bersama BFM, hari ini.
“Saya juga bukan penyokong Umno. Saya tiada kecenderungan pada mana-mana pihak tertentu.”
Beliau mendedahkan pernah menjadi sebahagian kumpulan pemikir Umno pada 1990-an, namun hanya menjalankan profesion itu secara profesional.
Azhar, peguam dan aktivis hak asasi manusia, dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pada September 2018, ketika PH berkuasa.
Beliau berkhidmat sebagai pengerusi SPR sehingga Jun 2020 dan dilantik sebagai speaker, pada Julai 2020, susulan dicalonkan Muhyiddin Yassin, yang menjadi perdana menteri ketika itu.
Ditanya sama ada beliau merupakan calon terbaik mengisi kedudukan itu, Azhar berkata, beliau mengambil tugas itu kerana berpandangan bersedia menggalas tanggungjawab itu, selain ada “kelebihan mempunyai rakan dari kedua-dua belah pihak”.
“Saya ada kawan dari kerajaan dan mempunyai rakan yang sangat-sangat rapat dari pembangkang. Jadi, saya fikir ia boleh jadi penghubung (antara dua pihak).
Mengulas cabaran digalas speaker, Azhar berkata, beliau berada memegang kedudukan ketika masa dipenuhi kekecewaan, selain kemarahan daripada kedua-dua pihak.
Walaupun sudah menjangkakan akan dilemparkan tuduhan dan dakwaan, Azhar berkata, beliau masih juga belum bersedia berdepan kemungkinan buruk yang mungkin berlaku.
“Berat (tuduhan dilemparkan) tidak pernah dijangka,” katanya.
Ditanya bagaimana seseorang itu mampu mengubah peranan dimainkan speaker tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan, Azhar berkata, pandangan orang tidak dapat dikawal.
“Kita tidak mampu mengawal pemikiran mereka, kita hanya boleh mengikut peraturan,” katanya.
Ditanya sama ada akan terjun ke politik pada masa akan datang, Azhar berkata, beliau tidak pernah mempertimbangkan prospek berkenaan, sambil menyatakan tidak pernah didekati mana-mana parti.
Katanya, beliau kekal menjadi speaker sehingga sidang Parlimen akan datang selepas pilihan raya umum ke-15.
Beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada akan terus dilantik sekali lagi oleh kerajaan baharu.