
Ketua Polis Shah Alam, Iqbal Ibrahim, berkata kejadian berlaku kira-kira 12.10 tengah hari semalam ketika mangsa berusia 15 tahun tinggal berdua di rumah dengan abangnya yang berusia 17 tahun.
“Kejadian berlaku apabila mangsa ke dapur untuk minum air dan terserempak dengan suspek yang ketika itu bersembunyi di tepi mesin basuh.
“Selepas itu, berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek, dengan suspek yang disyaki warga tempatan menikam mangsa di bahagian perut menggunakan sebatang pemutar skru,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Iqbal berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Shah Alam dan ditempatkan di wad biasa, dengan keadaannya kini stabil.
Katanya, hasil pemeriksaan pihak hospital mendapati terdapat kecederaan luka kecil di perut mangsa.
“Pihak hospital sedang berurusan dengan keluarga mangsa untuk mendapatkan persetujuan membuat pembedahan kerana mangsa pernah menjalani pembedahan apendiks di bahagian perut yang sama.”
Beliau berkata, siasatan polis mendapati suspek dipercayai hendak melakukan jenayah pecah rumah melalui pintu belakang rumah mangsa.
“Kami mengesyaki pemutar skru itu digunakan untuk mengumpil rumah mangsa.”
Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Mohamad Zulkifli Mohamad di talian 0111 6958529 atau balai polis berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dan mendatangkan kecederaan.