
Penyandang Ahli Parlimen Klang itu, berkata beliau memfailkan saman terbabit kerana perdana menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob, tidak mempunyai sokongan mencukupi memohon perkenan baginda membubarkan Parlimen, sama ada dalam kalangan Ahli Parlimen atau Kabinet.
Menurut Santiago, sokongan Umno membubarkan Parlimen hanya merangkumi kira-kira 17% sahaja daripada Ahli Parlimen.
“Parti politik lain secara terbuka membantah keputusan itu, termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
“Katakan semua Ahli Parlimen PH dan PN membantah pembubaran, ia mewakili 135 Ahli Parlimen, majoriti jelas,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, daripada 80 menteri dalam Kabinet, hanya 29 dari BN.
“Menteri kesihatan sementara, Khairy Jamaluddin, (dari BN) juga tidak bersetuju mengadakan pilihan raya umum, pad 2022.
“Menteri belia dan sukan sementara, Ahmad Faizal Azumu, juga secara terbuka menyatakan Ismail tidak memaklumkan kepada Kabinet untuk membuat pembubaran,” katanya.
“Justeru, pendirian kami adalah jelas, kami hanya mencabar nasihat diberikan kepada Agong oleh Ismail, yang mana tidak sah mengambil kira penjelasan di atas.”
Pada Khamis, Santiago membawa kes ke mahkamah bagi menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada menjalankan PRU15 kerana Ismail, sebagai perdana menteri “caretaker”, dikatakan telah melanggar peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Santiago, yang memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 11 Okt, menamakan Ismail, kerajaan dan SPR sebagai responden.
Beliau menuntut deklarasi bahawa permintaan Ismail kepada Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen dibubarkan bercanggah dengan Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.
Semalam, peguam kerajaan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman difailkan Santiago, sambil menyatakan saman ahli DAP itu remeh dan penyalahgunaan proses mahkamah yang serius.
Mereka berkata, adalah menjadi hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen tidak boleh dipertikaikan di mahkamah.
Permohonan itu juga menjelaskan SPR mempunyai tanggungjawab Perlembagaan untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari, dengan sebarang usaha bagi mencabar proses pilihan raya dan keputusannya hanya boleh dibuat melalui petisyen pilihan raya.
FMT difahamkan Peguam Negara, Idrus Harun sudah mengeluarkan fiat kepada peguam dari firma itu untuk mewakili ketiga-tiga defendan.
Mereka juga memohon semua prosiding berkaitan saman difailkan Santiago ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan pembatalan saman berkenaan.