
PH dalam ciapan dalam akaun rasmi di Twitter, berkata fokus kerajaan negeri ditadbir PH tertumpu menangani masalah berkait banjir.
“Majlis Presiden umum Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sah tidak bubar DUN masing-masing.
“Fokus Kerajaan-Kerajaan Negeri PH tertumpu ke arah masalah kian mendesak berkait banjir,” menurut ciapan itu.
Pengerusi PH Anwar Ibrahim, berkata keputusan itu diputus demi memastikan kerajaan negeri menumpukan sepenuh perhatian kepada membantu mangsa banjir.
“Jadi, PKR dan Amanah, kedua-duanya mengambil pendirian sama sebelum ini, dan DAP akhirnya memutuskan semua tiga negeri PH mengadakan pilihan raya negeri pada tarikh kemudian.
“Ini demi tumpuan diberikan menguruskan soal berkait banjir,” katanya.
Pada 13 Okt, Ketua Menteri Pulang Pinang Chow Kon Yeow, berkata beliau memilih untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Katanya, DAP Pulau Pinang hanya menyuarakan “hujah terbaik” mengenai perkara itu kepada pucuk pimpinan parti ketika mesyuarat pada Selasa lalu.
Beliau berkata, pihaknya berjaya menyakinkan kepimpinan tertinggi DAP untuk membawa isu ini ke mesyuarat pemimpin Pakatan Harapan yang berlangsung pada 12 Okt.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, berkata partinya mengadakan dua pertemuan membincangkan perkara itu dan keputusan diambil sebenarnya sukar.
“Pimpinan DAP Pulau Pinang dan wakil rakyat memohon diberikan kelonggaran untuk membubarkan DUN. Mereka kata, pengundi tidak perlu kembali buat kali kedua untuk mengundi.
“Kami memahami sentimen itu, namun saya perlu membuat keputusan sukar dan kemungkinan mengecewakan rakan parti saya di Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata, pimpinan DAP Pulau Pinang mesti memahami sekiranya permintaan membubarkan DUN dibenarkan, ia dilihat berlaku ketidaksepaduan antara pimpinan parti di peringkat pusat, termasuk hubungan dengan rakan sekutu gabungan.
Loke berkata, ia sekali gus membuka peluang kepada musuh DAP menggambarkan gabungan tidak bersatu padu dan tidak mampu membuat keputusan secara kolektif.
“Itulah sebabnya dalam detik sukar di mana pilihan raya semakin hampir, saya tidak boleh memberi peluang kepada musuh merendah-rendahkan kita,” katanya.