KJ akan desak kerajaan baharu bentang semula RUU generasi penamat

KJ akan desak kerajaan baharu bentang semula RUU generasi penamat

Menteri kesihatan dalam kerajaan sementara itu berkata RUU GEG sangat penting untuk masa depan negara walaupun kerajaan baharu ada hak menentukannya.

Khairy Jamaluddin berkata beliau sudah berusaha yang terbaik membawa Rang Undang-undang (RUU) Generasi Penamat (GEG) ke Parlimen sebelum ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyatakan komitmen menyokong Rang Undang-undang (RUU) Generasi Penamat (GEG) dibentangkan semula di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, walaupun kerajaan baharu selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) mempunyai hak untuk menentukannya, tetapi RUU GEG sangat penting untuk masa depan negara.

“Saya akan terus menyokong supaya GEG ini dibawa ke Parlimen dalam apa jua kedudukan saya selepas ini. Mungkin sebagai Ahli Parlimen atau mungkin sebagai rakyat biasa.

“Saya terus akan desak supaya kerajaan yang baharu ini membawa RUU ini,” katanya kepada media selepas hadir program Seminar Anti Obesiti Putrajaya dan Pelancaran Modul Pengurusan Berat Badan Trim dan Fit di Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam pada itu, Khairy yang sedang berkhidmat dalam kerajaan sementara, berkata beliau sudah berusaha yang terbaik membawa RUU GEG ke Parlimen sebelum ini.

Pada 4 Okt, Khairy berkata, jika Parlimen dibubarkan, RUU GEG yang belum sempat diluluskan di Dewan Rakyat juga perlu dibentangkan semula oleh kerajaan baharu.

RUU GEG bertujuan mengharamkan penggunaan, pemilikan dan penjualan rokok dan produk vape kepada mereka yang dilahirkan selepas 2007.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, satu projek rintis akan dibuat awal tahun depan bagi meletakkan maklumat kalori di menu makanan.

Beliau berkata, projek itu akan dimulakan di kafetaria kementerian termasuk KKM dan kedai makan, di Putrajaya.

“Sekarang kita dalam peringkat perancangan dan untuk mengenalpasti kafeteria dan restoran yang mana ingin ambil bahagian dalam projek rintis ini.

“Selepas itu, kita akan tengok dan kaji pelaksanaan sama ada pelaksanaan maklumat kalori ini membawa kepada perubahan tingkah laku atau tidak,” katanya.

Katanya, misalnya seperti pilihan makanan yang lebih sihat atau kuantiti makanan lebih kecil.

“Jika projek rintis ini berjaya, mungkin projek ini boleh diperluaskan kepada restoran lain atau di seluruh negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.