

Malah kelab yang ditubuhkan pada 2008 itu turut mengharumkan nama sekolah dan negara dengan mengecap pelbagai kejayaan. Paling membanggakan, mereka merangkul enam anugerah pada Kejohanan Antarabangsa Tarian Terbuka Amsterdam 2019 di Belanda.
Menurut guru penyelianya Nadia Noorul Amin, kelabnya menyertai pertandingan sejak 2011, bermula pada peringkat daerah, kemudiannya ke peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa, membawa beberapa ahlinya menjelajah bumi Eropah.
“Saya rasa bangga kerana sebuah kelab kecil di sekolah yang kokurikulumnya biasa sahaja, tetapi dapat menghantar wakil bertanding ke luar negara, dipuji dan dapat tepukan termasuk sebaik (penonton) melihat pakaian (tradisional).
“Mereka seronok bila lihat ini (wakil) Malaysia. Bila masuk ke dewan, masing-masing bawa Jalur Gemilang, bangga lihat pelajar kita yang dari ‘biasa menjadi luar biasa’,” katanya ketika ditemui FMT.
Tarian satukan semua kaum

Kelab yang dianggotai 56 pelajar itu juga menjadi contoh kepada penyatuan kaum kerana ahlinya yang terdiri daripada pelbagai etnik sentiasa menunjukkan minat mempelajari semua jenis tarian tradisional dan klasik setiap kaum.
“Contohnya, saya lihat pelajar India suka mencuba tarian tradisional Melayu, ahli Melayu dan Cina pula mencuba tarian bharatanatyam (tarian klasik India). Walaupun nampak susah tetapi (mereka) tetap sedaya upaya menguasainya,” kata Nadia.
Tidak sekat kreativiti pelajar

Sementara itu, seorang lagi guru penyelia kelab itu, Aifaa Husna Asha’ri berkata, kelab tarian itu sentiasa membuka ruang untuk pelajar menonjolkan kebolehan dan kreativiti mereka.
“Adakalanya, mereka ada idea sendiri untuk olah balik tarian tradisional itu. Mereka ada idea untuk olah semula langkah yang asal. Kadang-kadang, orang tengok cantik, dia akan tiru, jadi benda itu akan jadi sesuatu yang baru juga,” katanya.
Selain melibatkan pelajar dalam perkongsian idea mengolah koreografi, Aifaa turut menerapkan nilai profesionalisme dan disiplin dalam kalangan ahlinya yang mahu serius dalam bidang seni tari.
“Sekarang mungkin pelajar tak faham lagi, kalau penari tak semestinya bila ada masa lapang boleh rehat-rehat macam itu,” kata Aifaa yang merupakan bekas penari kebudayaan universiti.
“Jadi saya selalu tekankan, kalau ada masa lapang, jangan rehat lama sangat, kena asah lagi, Yang senior kena didik junior … disiplin itu sebenarnya penting.”