11,085 anggota kesihatan awam siap siaga hadapi banjir

11,085 anggota kesihatan awam siap siaga hadapi banjir

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, seramai 4,263 anggota yang terdiri daripada 1,820 petugas Rapid Assessment Team (RAT) dan 2,443 petugas Rapid Response Team (RRT) turut akan melaksanakan penilaian kepada mangsa-mangsa atau isu yang melibatkan bencana.

Khairy Jamaluddin berkata KKM akan menempatkan lebih ramai petugas di kawasan paling kerap berisiko banjir.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan (KKM) akan menugaskan 11,085 anggota kesihatan awam bagi membantu mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, seramai 4,263 anggota yang terdiri daripada 1,820 petugas Rapid Assessment Team (RAT) dan 2,443 petugas Rapid Response Team (RRT) juga akan melaksanakan penilaian kepada mangsa atau isu yang melibatkan bencana.

“Kami juga akan menyediakan pakar kesihatan serta pasukan kesihatan mental dan sokongan sebagai persiapan hadapi banjir. Hal ini kerana KKM tahu mangsa banjir bukan hanya terkesan dari segi fizikal, tetapi juga dari segi emosi dan mental.

“Ini satu perkembangan baik. Tahun ini kami sediakan 1,462 individu bertugas dalam isu berkenaan kesihatan mental dan selaku kaunselor supaya mereka boleh ditempatkan di PPS bagi membantu mangsa banjir.” katanya ketika merasmikan seminar pengurusan bencana dan pelancaran buku “An Overview of Disaster Life Support In Disaster Management” di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, KKM akan menempatkan lebih ramai petugas di kawasan paling kerap berisiko banjir.

“Antaranya, Johor dan negeri pantai timur seperti Kelantan, tidak lupa juga Sarawak. Jadi kerahan itu tertakluk kepada risiko banjir di kawasan berikut,” tambahnya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menggesa rakyat, terutama agensi kerajaan bersiap siaga menghadapi banjir berskala besar yang diramalkan bermula hujung bulan depan.

Jabatan Meteorologi meramalkan negara mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November, yang dijangka menyebabkan banjir besar pada hujung bulan berikutan Monsun Timur Laut aktif dalam tempoh itu.

SOP PRU15

Khairy berkata, KKM mengesyorkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) beberapa SOP supaya PRU15 diadakan dalam keadaan “Covid-19 safe”.

Dengan situasi Covid-19 terkawal di negara ini, katanya, beberapa sekatan yang dikenakan semasa pilihan raya negeri terdahulu boleh dilonggarkan, antaranya hak mengundi bagi pesakit Covid-19.

“Individu positif Covid-19 tak kritikal yang menjalani pengasingan di rumah atau hospital boleh mengundi. Ada SOP tertentu nanti. Mungkin ada laluan khas atau khemah asing untuk mereka mengundi, dengan mewajibkan mereka memakai pelitup muka.”

Beliau berkata, KKM sudah berbincang dengan SPR dan keputusan akan dimuktamadkan minggu ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.