
Beliau berkata, hal ini kerana Malaysia mampu meneruskan keadaan ekonomi yang dilihat menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan tahun ini.
Sebagai contoh, katanya. Malaysia membuktikan pencapaian ekonomi melalui pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 8.9% pada suku kedua 2022 berbanding 5% pada suku pertama tahun ini.
“Pencapaian yang direkodkan ini adalah antara yang terbaik di Asia Tenggara. Keyakinan kepada ekonomi negara juga jelas dalam kalangan pelabur antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam Keluarga Malaysia di Dataran Aurora Bahau dekat sini malam tadi.
Selain itu, katanya, bagi separuh pertama 2022, pelaburan langsung asing mencatat aliran langsung bersih lebih tinggi bernilai RM41.7 bilion berbanding RM23.3 bilion sebelum wabak Covid-19
“Pertumbuhan ekonomi suku kedua Malaysia (tahun ini) juga adalah tertinggi di Asean dan lebih tinggi berbanding beberapa negara maju dan serantau seperti China (0.4%), Amerika Syarikat (1.6%), Korea (2.9%), Eropah (4%), Singapura (4.4%), Indonesia (5.4%) dan Filipina (7.4%),” katanya.
Beliau berkata, beberapa petunjuk ekonomi negara turut mencatatkan prestasi yang baik, termasuk Indeks Pengurus Pembelian (PMI) yang terus melepasi tujuh paras nilai ambang, iaitu 50.3%, dan jumlah ketibaan pelancong yang meningkat kepada 3.2 juta bagi tempoh Januari hingga Julai 2022.
Katanya, melalui hasil peningkatan ekonomi itu, kerajaan mampu memperkenal Bajet 2023 bernilai RM373.3 bilion, belanjawan terbesar dalam sejarah, yang memberi tumpuan kepada seluruh rakyat dan komuniti perniagaan.
“Walaupun tahun depan ekonomi dunia tidak menentu, saya yakin dengan keadaan ekonomi yang kini ada di negara ini, kita (kerajaan) mampu memastikan negara (Malaysia) tidak berada dalam keadaan seperti negara lain.
“Pertumbuhan ekonomi dijangka mencabar tetapi tidak jadi begitu teruk berbanding negara lain,” katanya sambil menambah, beliau yakin kerajaan ketika ini mampu menjaga kepentingan rakyat jika diberi peluang untuk terus mentadbir negara pada masa akan datang.