
Menurut Setiausaha Agung parti, Nor Hizwan Ahmad, keputusan ini dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi semalam.
“Mesyuarat Majlis Tertinggi PBM semalam telah bersidang dan mengesahkan tujuh usul yang diluluskan sebulat suara dalam Persidangan Agung Tahunan (PAT) 2022 di Shah Alam pada 1 Okt lalu.
“Antara usul yang diterima sebulat suara adalah untuk meletakkan Zuraida Kamaruddin sebagai presiden Parti Bangsa Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, katanya, Majlis Tertinggi telah meneliti dan menjalankan proses yang wajar serta bersesuaian dengan garis panduan perlembagaan parti untuk mengangkat Zuraida sebagai presiden.
Majlis Tertinggi PBM turut mengucapkan tahniah kepada Zuraida sambil mengucapkan terima kasih kepada Sng atas sumbangannya yang lalu.
Sng tidak menghadiri mesyuarat semalam kerana difahamkan berada di Parlimen.
Pada Jun, Sng mengumumkan Zuraida sebagai pemimpin PBM, yang diterima pakai sebulat suara oleh anggota biro politik parti dan Majlis Tertinggi.
Bagaimanapun, Ahad lepas, selepas Persidangan Agung Tahunan parti itu yang julung kali diadakan, Sng berkata, beliau terkejut dengan pengumuman Ketua Penerangan PBM Zakaria Abdul Hamid bahawa Zuraida secara rasminya menjadi presiden parti.
Ahli Parlimen Julau itu berkata, terdapat prosedur tertentu yang perlu diikuti sebelum parti itu boleh mempunyai presiden baharu. Salah satunya adalah penyandang mesti meletak jawatan atau dipecat.
Sekalipun begitu, Sng menegaskan bahawa tidak wujud konflik antara dirinya dengan Zuraida, dan beliau hanya mahu peralihan dijalankan mengikut “prosedur yang betul” untuk mengelakkan PBM berdepan sebarang masalah dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
Ahli pengasas PBM itu juga berkata, beliau telah menjelaskan kepada Zuraida dan pemimpin tertinggi parti bahawa beliau tidak akan meletak jawatan serta-merta kerana parti itu perlu mempertimbangkan kemungkinan bahawa pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan diadakan tidak lama lagi.
Justeru, keputusan beliau untuk meletak jawatan secara mengejut boleh membawa masalah kepada PBM dalam meletakkan calon bagi PRU.