Selepas Muhyiddin letak jawatan, ketua Pemuda Bersatu, Gerakan, MIPP mahu MT PN dirujuk

Selepas Muhyiddin letak jawatan, ketua Pemuda Bersatu, Gerakan, MIPP mahu MT PN dirujuk

Hilman Idham, Lee Boon Shian, dan Justin Prabakaran kata sebarang keputusan atau pendirian atas nama PN bukan hak mutlak mana-mana parti.

HILMAN IDHAM, LEE BOON SHIAN, DAN JUSTIN PRABAKARAN.
Ketua Pemuda Hilman Idham (Bersatu), Lee Boon Shian (Gerakan), dan Justin Prabakaran (MIPP) kata keputusan atau pendirian atas nama PN bukan hak mutlak mana-mana parti.
PETALING JAYA:
Semua keputusan atas nama Perikatan Nasional mesti dirujuk ke majlis tertinggi gabungan untuk dibincang dan diputuskan, tegas ketua Pemuda Bersatu, Gerakan, dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) menyusuli peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi.

Hilman Idham, Lee Boon Shian, dan Justin Prabakaran berkata semua keputusan atas nama PN mesti diputuskan dalam majlis tertinggi tersebut, selaras dengan Fasal 13 perlembagaan PN, dakwa mereka.

Kata mereka dalam kenyataan bersama, sebarang keputusan atau pendirian atas nama PN bukan hak mutlak mana-mana parti komponen secara unilateral.

“Biarpun semua parti komponen boleh menyatakan pandangan, namun pendirian PN harus diputuskan secara konsensus bersama semua parti-parti komponen,” kata mereka.

Mereka juga menggesa kepimpinan di semua peringkat mengamalkan politik hikmah, bijaksana serta memelihara adab dan etika gabungan bagi merealisasikan agenda lebih besar.

Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi PN, berkuat kuasa 1 Jan, menyusuli kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.

Muhyiddin memimpin PN sejak 7 Ogos 2020, ketika gabungan itu didaftarkan secara rasmi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.