
Presiden Cuepacs, Adnan Mat, berkata kerajaan mengumumkan pelbagai inisiatif untuk penjawat awam menerusi Bajet 2018, termasuk kenaikan gaji tahunan pada Julai 2017, tetapi ia tidak dilaksanakan selepas pertukaran kerajaan pada PRU14.
“Pengalaman kami pada 2018, bila diumum untuk penjawat awam, perubahan pucuk pimpinan menyebabkan kami tidak mendapat apa yang diumumkan sebelum itu,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas pengumuman bantuan untuk penjawat awam oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz, yang keseluruhannya mencecah RM2,500 bagi tahun depan.
Antaranya, bantuan khas Aidilfitri 2023 untuk penjawat awam yang dinaikkan kepada RM600 akan dibayar pada Mac depan.
Bantuan tambahan lain termasuk bantuan khas RM700 dan kenaikan gaji tambahan RM100 kepada penjawat awam Gred 11 hingga 56 serta RM350 buat sejuta pesara kerajaan.
Penjawat awam turut dibenarkan membuat penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sehingga 50%, yang dinaikkan sehingga maksimum 90 hari.
Tengku Zafrul berkata, semua bantuan itu menjadikan jumlah tambahan keseluruhan untuk penjawat awam yang layak sebanyak RM2,500 pada 2023.
Adnan menolak bajet kali ini sebagai “gula-gula” PRU15 kerana tidak semua cadangan dan permintaan Cuepacs dipenuhi kerajaan.
“Kami minta sebulan bonus, kenaikan gaji minimum RM1,800, sistem saraan disediakan lebih awal, tapi tak dapat…bantuan yang kami terima dalam bentuk minimum.”