Persatuan kontraktor bimbang tiada projek mega untuk sektor binaan

Persatuan kontraktor bimbang tiada projek mega untuk sektor binaan

Presiden MBAM Oliver Wee berkata, sebahagian projek yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2023 adalah projek yang dalam proses pembinaan.

Kerajaan memperuntukkan RM500 juta untuk projek infrastuktur bagi kontraktor kategori G1 hingga G4.
PETALING JAYA:
Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) melahirkan kekecewaan terhadap Bajet 2023 kerana didakwa tidak memperuntukkan dana mencukupi untuk industri pembinaan negara.

Presiden MBAM, Oliver Wee berkata, sebahagian projek yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2023 adalah projek yang dalam proses pembinaan.

Projek lain pula adalah untuk menaik taraf infrastruktur awam yang hanya memberi manfaat kepada kontraktor kategori G1 hingga G4 yang kebanyakkannya berkenaan dengan kerja pembinaan berskala kecil.

“Keadaan ini membimbangkan industri pembinaan kerana tiada peruntukan besar untuk projek mega yang baru dalam Rancangan Malaysia ke-12 walaupun peruntukan RM400 bilion untuk projek dari 2021 hingga 2025,” katanya.

Wee berkata, industri pembinaan menjangkakan pengumuman bajet yang lebih tinggi.

Tambahnya, kenaikan kadar levi untuk buruh asing akan menaikkan kos pembinaan.

Wee menggesa putrajaya memberi inisiatif terhadap projek yang melaksanakan sistem bangunan industri, satu alternatif kaedah pembinaan yang bertujuan meningkatkan produktiviti kerana kerajaan mahu sektor itu beralih ke teknologi digital.

Beliau juga menggesa satu pakej ransangan untuk meningkatkan pelaburan dalam pembangunan baru di sektor swasta.

MBAM juga merayu kerajaan menyediakan lebih banyak bantuan supaya dapat merancakkan dan menjadikan sektor pembinaan lebih mampan.

Dalam pembentangan Bajet 2023, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mengumumkan RM3.7 bilion akan diperuntukkan untuk projek bersaiz kecil dan sederhana di seluruh negara.

Tengku Zafrul turut mengumumkan peruntukan RM500 juta untuk projek infrastruktur bagi kontraktor kategori G1 hingga G4 dan RM562 juta untuk projek empangan Sabo.

Kerajaan juga akan membina sekolah baru, kemudahan kesihatan dan pusat jagaan kanak-kanak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.