Pembinaan hospital baharu Melaka mula tahun depan, kata exco

Pembinaan hospital baharu Melaka mula tahun depan, kata exco

Dr Akmal Saleh berkata pembinaan hospital wanita dan kanak-kanak itu ditangguh ke tahun depan akibat tambahan kos.

Exco Melaka Dr Akmal Saleh berkata hospital wanita dan kanak-kanak itu dijangka siap pada 2031 sekali gus dapat mengurangkan kesesakan di Hospital Melaka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pembinaan hospital wanita dan kanak-kanak bersebelahan Hospital Melaka ditangguh ke tahun depan dan dijangka siap pada 2031, kata Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Akmal Saleh.

Beliau berkata, pembinaan hospital baharu bernilai RM699 juta itu sepatutnya bermula awal tahun ini, tetapi terpaksa ditangguhkan melalui proses notis perubahan (NoC) akibat tambahan kos susulan penambahbaikan sistem.

“Sebelum nak buat tender dan sebagainya, kita merasakan RM699 juta tak cukup sebab ada beberapa penambahbaikan kita nak buat, contohnya nak ‘upgrade’ sistem dan penambahbaikan perlukan tambahan kos RM27 juta.

“Bila ada penambahbaikan, kita hantar NoC kepada Kementerian Ekonomi pada Disember tahun lalu dan bulan ini kita dah dapat jawapan RM27 juta yang kita mohon dah lulus,” katanya di Facebook.

“Jadi insya Allah pembinaan akan bermula tahun depan dan dijangka siap sepenuhnya dan boleh beroperasi pada 2031.”

Sabtu lalu, Ketua Pembangkang Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub mempersoalkan status pembinaan Hospital Wanita dan Kanak-kanak Melaka yang sepatutnya bermula awal tahun ini.

Hospital dengan kos RM726 juta itu bakal dilengkapi 746 katil, sekali gus dapat mengurangkan kesesakan di Hospital Melaka.

Dalam pada itu, Akmal turut mempersoalkan janji Yadzil mahu menubuhkan klinik percuma kepada penduduk DUN Bemban selepas menang PRN lalu.

“Masa PRN dulu, Yadzil janji klinik percuma untuk penduduk Jasin, jadi saya nak tanya apakah status atau ke mana menghilang klinik percuma dijanjikan itu?

“Adakah ia hanya manifesto untuk bohongkan rakyat, dah menang terus senyap atau hilang terus dimamah usia? Yadzil, sila jawab, kesian orang Bemban nak tuntut janji ni,” kata ketua Pemuda Umno itu.

Bemban antara enam DUN bawah Parlimen Jasin, selain DUN Merlimau, Rim, Asahan, Sungai Rambai dan Serkam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.