Mahkamah batal permohonan ahli perniagaan persoal peruntukan pengubahan wang haram

Mahkamah batal permohonan ahli perniagaan persoal peruntukan pengubahan wang haram

Mahkamah Persekutuan berkata petisyen yang difailkan oleh ahli perniagaan itu tidak memenuhi keperluan undang-undang untuk didengar di mahkamah.

Ahli perniagaan Wong Shee Kai, dipercayai melarikan diri, memfailkan petisyen untuk mencabar Seksyen 63 dan 64 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan membatalkan permohonan difailkan oleh seorang ahli perniagaan untuk mempersoalkan kesahihan dua peruntukan di bawah undang-undang pengubahan wang haram.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, berpendapat bahawa petisyen Wong Shee Kai tidak memenuhi keperluan undang-undang untuk didengar di mahkamah.

“Perkara berkenaan dalam cabaran perlembagaan kes ini boleh dan mesti dibangkitkan di Mahkamah Tinggi. Oleh itu, (ia) adalah di luar bidang kuasa asal eksklusif mahkamah ini,” kata Tengku Maimun.

“Oleh itu, kami berpendapat bahawa kebenaran untuk memfailkan petisyen di bawah Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan sepatutnya tidak diberikan. Membenarkan petisyen ini diteruskan akan menyalahguna proses mahkamah ini.”

Hakim lain turut bersidang bersama Tengku Maimun ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Vernon Ong, Rhodzariah Bujang dan Zabidin Mohamad Diah.

Awal tahun ini, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada Wong untuk memulakan prosiding melalui satu petisyen bagi mencabar Seksyen 63 dan 64 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan hasil daripada aktiviti haram.

Kedua-dua bahagian adalah berkenaan dengan individu yang telah melarikan diri dan tidak dapat ditemui. Dalam keadaan sedemikian, mahkamah boleh membuat perintah supaya pihak berkuasa melucut hak harta mereka.

Kerajaan pada Mei 2020 memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk melucut hak 5,792,000 saham dalam Bright Packaging Industries Bhd, sebuah syarikat yang dikawal oleh Wong.

Ia mendakwa bahawa saham itu diperoleh menggunakan hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Kerajaan mahu menganggap Wong sebagai orang yang melarikan diri dan menggesa mahkamah membenarkan pelucuthakan itu.

Suruhanjaya Sekuriti (SC) meminta bantuan orang ramai untuk mencari Wong selepas dia memberikan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia berhubung hasil RM11.13 juta syarikatnya yang lain, Asia Media Group Bhd.

Waran tangkap kemudian dikeluarkan terhadap Wong pada 21 Sept tahun lalu atas dakwaan kesalahan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan.

Wong diwakili peguam Nahendran Navaratnam dan Ivanpal Singh Grewal, manakala Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan M Kogilambigai mewakili kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.