Dikaitkan dengan kontrak bekal meriam, timbalan menteri pertahanan lapor polis

Dikaitkan dengan kontrak bekal meriam, timbalan menteri pertahanan lapor polis

Ikmal Hisham Abdul Aziz membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, melalui Setiausaha Sulit Kanan Mohammad Iskandar Idris hari ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, beliau menyerahkan siasatan kepada polis dan sedia bekerjasama dengan SPRM untuk disiasat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz menafikan tuduhan dibuat Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli kononnya dirinya terlibat dalam pemberian surat niat penganugerahan kontrak perolehan meriam artileri jenis Self Propelled Howitzer (SPH) kepada MA Analytics Sdn Bhd.

Ikmal berkata, susulan fitnah yang dibuat timbalan presiden PKR itu beliau turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, melalui Setiausaha Sulit Kanan Mohammad Iskandar Idris hari ini.

“Ia adalah satu fitnah dan pembohongan yang bertujuan politik bagi mencemarkan nama baik saya. Sebagai timbalan menteri pertahanan saya sama sekali tidak mempunyai kuasa dalam menentukan atau mempengaruhi pemilihan syarikat di dalam mana-mana perolehan kementerian.

“Ini memandangkan Kementerian Pertahanan telah menetapkan setiap perolehan aset dan kelengkapannya yang baharu mempunyai proses kerja yang perlu dipatuhi dan perlu diperakukan oleh pengguna sendiri iaitu tentera darat, tentera laut atau tentera udara, sebelum sebarang perolehan dilaksanakan dan seterusnya dikemukakan kepada agensi pusat seperti Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan untuk kelulusan perolehan,” katanya dalam kenyataan.

Ikmal turut mendakwa, tuduhan Rafizi itu juga bertujuan merosakkan nama baik dan menyemarakkan kebencian orang awam terhadap beliau menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, pihaknya menyerahkan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menyiasat serta mendakwa Rafizi melalui peruntukan undang-undang sedia ada.

“Saya juga bersedia bekerjasama dalam sebarang siasatan yang dijalankan oleh mana-mana agensi khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Terdahulu Rafizi menggesa kerajaan membatalkan surat niat penganugerahan kontrak perolehan meriam artileri jenis SPH kepada MA Analytics Sdn Bhd yang didakwa mempunyai kaitan dengan anak Ikmal.

Rafizi, berkata semakan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan siasatan pihaknya mendapati MA Analytics Sdn Bhd didalangi pihak berkepentingan yang ada kaitan dengan Ikmal.

“Semakan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan siasatan ke atas individu terbabit dalam MA Analytics Sdn Bhd menunjukkan pemilikan bersama syarikat dengan anak Ikmal Hisham iaitu Ikmal Hadzlan Ikmal Hisham dan isteri Ikmal Hisham iaitu Datin Seri Norihan Ayob,” kata Rafizi.

Rafizi sebelum ini turut mendedahkan syarikat baharu ditubuhkan kurang dua tahun mendapat tender pembekalan sistem meriam artileri jenis SPH tentera darat bernilai RM854 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.