
Beliau berkata, walaupun semakan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi data Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) mengesahkan mi segera Sup Pedas Korea ada diimport ke negara ini, namun tiada kemasukan produk dengan tarikh luput terbabit.
“KKM akan terus menjalankan pemantauan di pasaran dan mengenakan tindakan tahan, uji dan lepas (TUL) di semua pintu masuk negara dan sentiasa peka terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Agensi Makanan Singapura (SFA) berkata, mi segera Sup Pedas Korea dengan tarikh luput 17 Mac tahun depan dan mi segera Ayam Pedas Korea bertarikh 21 Mei 2023 ditarik balik kerana kehadiran etilena oksida.
Hisham berkata, etilena oksida ialaj racun perosak yang tidak dibenarkan penggunaannya dalam makanan berdasarkan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Ia sebatian gas kimia yang bersifat karsinogenik dan sering digunakan bagi menjalankan pewasapan untuk membasmi makhluk perosak seperti serangga,” jelasnya.
Menurut laporan dari Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat, pendedahan jangka panjang kepada etilena oksida pada manusia boleh menyebabkan kerengsaan mata, kulit, hidung, tekak dan paru-paru serta kerosakan pada otak dan sistem saraf.
Selain itu, pendedahan kepada etilena oksida turut meningkatkan risiko kanser.