
Ismail dijangka menghadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara pada 4 petang ini.
Bernama memetik Ismail sebagai berkata, pertemuan dengan Sultan Abdullah dilakukan setiap minggu, sehari sebelum mesyuarat Kabinet bagi membincangkan perihal berkaitan Kabinet.
Katanya, perbincangan itu mungkin mengambil masa panjang memandangkan banyak perkara yang akan diterangkan, selain beliau menerima pesanan daripada Sultan Abdullah.
Semasa ditemui selepas meninjau persiapan Bajet 2023 di Kementerian Kewangan hari ini, Ismail yang ditanya sama ada tarikh pembubaran Parlimen akan dibawa pada majlis menghadap hari ini berkata: “Tak pasti lagi nak bawa atau tak. Kalau bincang hal Kabinet panjang sangat, pasal Kabinet saja.”
Ditanya sama ada terdapat agenda “tambahan atau khusus” semasa menghadap Agong, katanya: “Kita tengok, kalau bincang sampai Maghrib tak sempat nak bincang hal lain”.
Timbul spekulasi Ismail akan mencadangkan pembubaran Parlimen kepada Agong bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Awal hari ini, Menteri Pendidikan, Radzi Jidin mengesahkan 12 menteri Kabinet Perikatan Nasional mengutus surat kepada baginda supaya mempertimbang menolak PRU15 diadakan tahun ini, sekiranya perkara itu dipersembahkan.
Pembangkang turut membantah pelaksanaan PRU15 tahun ini, susulan kebimbangan bencana banjir akibat peralihan monsun timur laut, yang dijangka bermula pertengahan November hingga Mac 2023.
Terdahulu, Sultan Abdullah berkenan berangkat ke sesi sembah taklimat persiapan menghadapi bencana dan banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Jabatan Pengairan dan Saliran di Ampang, hari ini.