Agong titah graduan guna ilmu sebaiknya, jadi pembina tamadun

Agong titah graduan guna ilmu sebaiknya, jadi pembina tamadun

Sultan Ibrahim menzahirkan pesanan bahawa graduan tidak boleh leka dalam mengharungi arus kemodenan dan terlibat dalam perkara yang tidak sihat.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah, kekuatan sebuah negara terletak kepada graduan muda pada hari in dan tanda kejayaan atau kegagalan negara.
KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah bahawa graduan perlu menjadi pembina tamadun dan pemimpin muda negara dengan menggunakan ilmu untuk kemajuan ummah.

Baginda bertitah, ilmu yang diperolehi di universiti merupakan amanah yang harus dikembalikan semula kepada masyarakat dan negara.

Sultan Ibrahim mengakui ilmu bukan sekadar untuk kemajuan diri sendiri tetapi penting untuk kebaikan semua, kerana sejarah tamadun Islam membuktikan ia boleh membawa umat daripada kejahilan kepada cahaya kebenaran.

“Negara menaruh harapan agar graduan boleh menjadi pemimpin muda yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang masing-masing tetapi turut memiliki nilai integriti dan dedikasi untuk berkhidmat kepada negara.

“Gunakan ilmu dengan sebaik-baiknya dan jadilah seorang pemimpin muda yang berguna kepada negara.

“Jangan sekali-kali para graduan menghampakan harapan ibu bapa dan melakukan perkara yang boleh meruntuhkan jati diri negara,” titahnya pada Istiadat Konvokesyen Ke-15 UPNM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).

Sempena istiadat konvokosyen itu, sebanyak 783 graduan menerima ljazah Sarjana Muda, masing-masing 78 bagi Sarjana dan Doktor Falsafah manakala penerima diploma melibatkan 149 graduan.

Sultan Ibrahim turut menzahirkan pesanan bahawa kekuatan sebuah negara terletak kepada graduan muda pada hari ini, malah ia juga tanda kepada kejayaan atau kegagalan negara pada masa hadapan.

“Saidina Ali bin Abi Talib pernah berkata, jika ingin melihat masa hadapan negara, lihatlah pemuda pemudinya hari ini.

“Oleh yang demikian, graduan tidak boleh leka dalam mengharungi arus kemodenan dan terlibat dalam perkara yang tidak sihat.” titahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.