
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, cadangan pindaan yang akan dikemukakan sewaktu menyambung semula perbahasan RUU itu melibatkan Tajuk Panjang, fasal 1, 2, 5, 13, 17, 21, 24, 26, 27, 28, 29, 30, 31, 33, 34, 35, 38, 49, 53, penambahan fasal baharu 54 dan pernomboran semula fasal 54 dan 55.
Beliau berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Menimbang RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 pada 5 Okt lepas membentangkan laporan penyata yang mengandungi butiran prosiding serta rumusan dan syor JKPK bagi menambah baik RUU tersebut.
“Secara keseluruhannya, JKPK ini bermesyuarat lima kali dengan semangat bipartisan yang matang dan harmoni bagi memperhalusi peruntukan di dalam RUU.
“Ahli-ahli JKPK juga secara konsensus bersetuju dengan laporan penyata serta cadangan pindaan-pindaan yang perlu dibuat ke atas RUU ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairy yang juga pengerusi JKPK berkata, perkara yang dibangkitkan dan diperhalusi sepanjang mesyuarat berlangsung antaranya berhubung isu Perlembagaan; keperluan akta baharu bagi mengawal selia produk merokok dan aktiviti melibatkan produk merokok.
Beliau berkata, perbincangan ke atas had penguatkuasaan serta penalti bagi kesalahan dalam RUU itu seperti mana yang termaktub dalam terma rujukan JKPK juga diperhalusi JKPK.
Bacaan pertama dan kedua RUU itu dibuat pada 27 Julai dan 1 Ogos lepas, sementara satu usul bagi merujuk ia kepada JKPK Menimbang RUU dibuat pada 2 Ogos dan dipersetujui Dewan Rakyat.
JKPK menimbang RUU itu dianggotai 13 ahli Dewan Rakyat yang dinamakan parti masing-masing.
Menerusi konsensus yang dicapai ahli Dewan Rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang yang menganggotai JKPK itu, Khairy berharap ahli Dewan Rakyat lain turut memberikan sokongan ke atas RUU itu apabila perbahasannya disambung semula untuk diputuskan demi kepentingan kesihatan awam di negara ini.
RUU berkenaan antara lain mengetengahkan larangan merokok apa-apa produk tembakau atau pengganti tembakau serta larangan penggunaan peranti merokok, oleh mana-mana individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya serta bagi perkara berkaitan.
Ia bertujuan melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat merokok, selain mengurangkan kematian akibat penyakit berkait rokok.