
Harian Metro melaporkan, perintah reman bermula hari ini dikeluarkan Majistret R Salini, di Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadap suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, kedua-dua suspek berusia 28 dan 40 tahun tiba di perkarangan mahkamah, kira-kira 9 pagi.
Semalam, Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat, dilaporkan berkata, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan, maut dipercayai didera ketika di bawah jagaan kenalan bapanya serta pembantu rumah lelaki itu, kelmarin.
Difahamkan, pembantu rumah wanita warga Indonesia itu ditahan kelmarin, manakala suspek yang juga kenalan bapa mangsa yang diamanahkan menjaga kanak-kanak itu pula ditahan sepasukan polis, di kediaman lelaki itu di Skudai, semalam.
Kamarul Zaman dilaporkan berkata, suspek lelaki adalah kenalan bapa mangsa yang diupah menjaga dua anaknya sementara bapa mangsa bekerja di Singapura.
Pemeriksaan awal terhadap tubuh kanak-kanak lelaki itu mendapati terdapat kesan lebam dan mayat kanak-kanak itu menjalani bedah siasat hari ini, bagi mengetahui punca kematiannya.