Lebih baik pakai pelitup muka dalam pesawat, nasihat badan pemikir kesihatan

Lebih baik pakai pelitup muka dalam pesawat, nasihat badan pemikir kesihatan

Walaupun peraturan memakai pelitup muka dilonggarkan, ia kekal sebagai perlindungan kos rendah terhadap jangkitan.

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, lebih baik melakukan pencegahan bagi mengelakkan dijangkiti Covid-19, dengan memakai pelitup muka dalam pesawat. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Ketua sebuah badan pemikir kesihatan menasihatkan penumpang pesawat memakai pelitup muka ketika penerbangan, walaupun mereka tidak perlu berbuat demikian lagi.

Azrul Mohd Khalib, ketua eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, walaupun kebanyakan orang sudah mendapat vaksin Covid-19, mereka harus berhati-hati dengan penyakit berjangkit bawaan udara seperti influenza.

Katanya, wajar mengambil langkah berjaga-jaga kerana pesawat adalah persekitaran tertutup dan mungkin ada penumpang lain yang positif Covid-19.

“Ada ramai orang yang tidak dapat divaksinasi atau mempunyai sistem imum terjejas atau perlindungan berkurangan kerana imuniti semakin merosot.

“Memakai pelitup muka melindungi anda daripada dijangkiti dan juga melindungi orang lain jika anda positif Covid-19. Ia adalah strategi pencegahan berkos rendah.

“Saya akan terus memakai pelitup muka dalam penerbangan jarak jauh semasa perjalanan saya,” katanya kepada FMT sambil mengakui pemakaian pelitup muka bergantung kepada tingkah laku individu.

Rabu lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan pemakaian pelitup muka tidak lagi wajib dalam pesawat di Malaysia, tetapi penumpang penerbangan antarabangsa tertakluk kepada peraturan ditetapkan negara lain.

Orang ramai masih digalakkan memakai pelitup muka dalam pesawat, jika mereka berisiko tinggi, mempunyai sebarang simptom Covid-19 atau melakukan perjalanan bersama individu berisiko tinggi seperti kanak-kanak atau orang tua.

Khairy berkata, keputusan itu diambil berikutan penilaian risiko dan penambahbaikan terhadap pengudaraan dalam kabin pesawat.

Menurut laman sesawang CovidNow Kementerian Kesihatan, hanya 49.7% penduduk Malaysia mendapat suntikan penggalak pertama dan hanya 1.5% mengambil suntikan penggalak kedua.

Azrul berkata, memakai pelitup muka dalam penerbangan mengurangkan risiko jangkitan, kehilangan masa berkualiti dan komplikasi akibat komorbiditi, serta potensi menghadapi kesan jangka panjang selepas dijangkiti virus itu.

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kajian menunjukkan penularan Covid-19 rendah dalam pesawat berbanding ruang tertutup dengan pengudaraan tidak baik.

“Saya rasa keperluan memakai pelitup muka perlu dibatalkan secara berperingkat, kecuali dalam keadaan sangat khusus seperti di kemudahan penjagaan kesihatan,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.