Buku tulisan bekas peguam negara: Polis selesai rakam percakapan Thomas

Buku tulisan bekas peguam negara: Polis selesai rakam percakapan Thomas

Kertas siasatan terhadap Tommy Thomas akan diperkemas dan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara, pada 3 Okt bagi arahan lanjut.

Polis selesai merakam percakapan bekas peguam negara, Tommy Thomas, berhubung buku tulisannya, ‘My Story: Justice in the Wilderness’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis sudah merakam percakapan bekas peguam negara, Tommy Thomas susulan laporan akhir pasukan petugas khas membabitkan buku tulisannya, “My Story: Justice in the Wilderness”.

Setiausaha Polis Noorsiah Saaduddin, berkata satu kertas siasatan telah dibuka bagi tujuan itu dengan laporan akan dirujuk semula kepada Pejabat Peguam Negara, pada 3 Okt.

“Percakapan bekas peguam negara tersebut juga telah selesai dijalankan oleh polis.

“…kertas siasatan yang telah diperkemaskan akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara pada 3 Oktober 2022 untuk arahan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, berkata Thomas akan disiasat atas dakwaan menghasut serta membocor maklumat dan rahsia kerajaan berhubung bukunya.

Katanya, selain itu, Thomas juga disiasat berhubung dakwaan beliau terhadap badan kehakiman, selain mengambil tindakan tidak sah, salah guna kuasa serta melakukan kecuaian profesional.

“Beliau disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 124(1) Kanun Keseksaan kerana penyebaran laporan palsu,” katanya dalam kenyataan.

Hari ini, Ismail berkata, kerajaan akan mendedahkan kepada umum laporan akhir pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan berkaitan buku tulisan Thomas.

“Kita akan dedahkan,” kata Ismail ringkas ketika diminta mengulas desakan supaya laporan akhir berkenaan didedahkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.