Tetap pendirian dasar beri, terima hadiah oleh penjawat awam, Ahli Parlimen beritahu kerajaan

Tetap pendirian dasar beri, terima hadiah oleh penjawat awam, Ahli Parlimen beritahu kerajaan

Lim Lip Eng bertanya sama ada pentadbiran Ismail Sabri Yaakob tertakluk kepada 'dasar tiada hadiah'.

Lim Lip Eng berkata, kerajaan perlu tegas menguar-uarkan dasar tiada pemberian hadiah supaya orang ramai sedar akan kepentingannya.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin DAP mempersoalkan sama ada pentadbiran Ismail Sabri Yaakob tertakluk kepada “dasar tiada hadiah”, ekoran kes rasuah yang didakwa semakin berleluasa ketika ini.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata, Jemaah Menteri Ismail perlu menetapkan pendirian berhubung isu penerimaan dan pemberian hadiah, yang mana dasarnya telah dirangka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kebanyakan agensi kerajaan sudah mempunyai peraturan untuk meneruskan dasar ini. Adakah (Jemaah Menteri) pimpinan perdana menteri juga tertakluk kepada dasar ini?

“Bagaimanakah perincian bagi pihak menteri beliau di dalam isu penerimaan dan pemberian hadiah ini? Apakah mereka dibenarkan untuk menerima hadiah tanpa kira nilainya dari mana mana individu dan syarikat?” soalnya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan pendedahan peguam mewakili Najib Razak di mahkamah baru-baru ini bahawa bekas perdana menteri itu menerima jam tangan mewah oleh beberapa taikun terkenal ketika masih berada di dalam kerajaan.

Lim berkata, kerajaan perlu tegas menguar-uarkan dasar tiada pemberian hadiah memandangkan ia adalah isu berkepentingan awam dan harus dipandang serius.

“Dengan cara seperti ini, orang ramai sedar akan kepentingan untuk tidak memberi apa-apa jenis hadiah kepada penjawat awam, lebih-lebih lagi mereka berjawatan tinggi (dalam Jemaah Menteri),” katanya.

“Perdana menteri perlu ada pelan jelas untuk menangani rasuah yang sedang berlaku. Selain daripada isu yang dibincangkan, apakah langkah jangka panjang yang dirangka bagi memastikan kemantapan integriti pentadbiran negara?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.