Kontraktor rugi RM13.3 juta, ditipu pegawai bank berkait pembiayaan semula pinjaman

Kontraktor rugi RM13.3 juta, ditipu pegawai bank berkait pembiayaan semula pinjaman

Lelaki berusia 58 tahun itu mengumpul wang itu untuk membantu 'rakan' membuat pembayaran awal berhubung 85 permohonan 'pembiayaan semula rumah'.

Contractor Chin Hooi Phang (kiri) bersama Ketua Biro Aduan Awam Gerakan Pulau Pinang, H’ng Khoon Leng.
GEORGE TOWN:
Seorang lelaki kerugian RM13.3 juta selepas mendakwa ditipu dua pegawai bank yang berjanji untuk memberikan pemulangan kerana menyokong 85 permohonan “pembiayaan semula rumah” yang mereka dakwa belum selesai di bank.

Kontraktor Chin Hooi Phang, 58, berkata beliau didatangi dua pegawai bank berusia 30-an untuk memohon pinjaman bagi membolehkan mereka menyegerakan pembayaran kepada pelanggan yang mengambil skim pembiayaan semula daripada bank.

Lelaki itu memberitahu Chin, wang yang dipinjamkan akan digunakan untuk bayaran pendahuluan, kerana pengeluaran sebenar daripada skim pembiayaan semula bank akan “mengambil masa yang lama”.

Chin bersetuju, membayar RM13.3 juta untuk 85 kes pembiayaan semula rumah dalam tempoh setahun, kata Ketua Biro Pengaduan Awam Gerakan Pulau Pinang, H’ng Khoon Leng kepada pemberita hari ini.

H’ng berkata, dua pegawai bank itu – seorang daripadanya adalah pengurus bank yang dikenali Chin selama lapan tahun – telah menjanjikannya sejumlah wang yang tidak didedahkan sebagai pulangan untuk pendahuluan itu.

“Pengurus bank memberitahu Chin dia akan mendapatkan wang untuk 10 permohonan, tetapi pulangan tidak pernah diterima, dengan pelaku mendakwa ia digunakan untuk membiayai kes lain,” kata H’ng.

Chin berkata, dia pertama kali bertemu pengurus bank itu ketika membuat perjanjian pinjaman lapan tahun lalu dan kini menjadi rakannya.

Katanya, dia telah mengumpul RM13.3 juta antara Oktober 2020 dan November 2021, termasuk hampir RM10 juta daripada rakan dan saudara mara, manakala RM3.3 juta adalah daripada simpanannya sendiri.

Dia berkata, pada mulanya dia yakin ia adalah kes yang sah kerana lelaki itu telah mengemukakan dokumen bank asal dan merupakan pekerja sebuah bank terkenal.

Beliau mendakwa siasatan polis mendedahkan bahawa nama dan nombor MyKad yang digunakan dalam kesemua 85 dokumen adalah benar, dan telah diambil daripada pangkalan data bank, tetapi individu yang dinamakan itu tidak memohon sebarang pelan pembiayaan semula.

Chin berkata, tuntutannya untuk pembayaran tidak dipedulikan. Dia kemudian diberitahu oleh lelaki itu bahawa permohonan untuk kesemua 85 kes telah pun dibuat.

“Dua lelaki yang saya percayai itu mengaku mereka menipu saya, dan saya diminta menandatangani perjanjian bahawa mereka akan membayar balik secara ansuran. Saya masih belum dapat balik satu sen pun.

“Sekarang, pengurus bank itu hilang, dan rakannya (pegawai bank yang lain) enggan menjawab panggilan,” katanya.

Dia juga mengetahui bahawa lelaki itu sudah tidak lagi bekerja dengan bank tersebut.

Chin berkata, dia terpaksa menjual semua barang berharganya, termasuk kereta dan jam tangannya dan mengumpul RM800,000, untuk melunaskan pinjaman hampir RM10 juta daripada saudara dan rakannya.

Katanya, dia membuat laporan polis terhadap lelaki terbabit, dua minggu lalu.

FMT telah menghubungi polis untuk mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.