Tetap penggal Parlimen cadangan baik, kata Azhar

Tetap penggal Parlimen cadangan baik, kata Azhar

Cadangan itu dapat membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan tugasnya seperti dari segi penjimatan kos dan persiapan menghadapi pilihan raya.

Azhar Harun berkata sekiranya SPR ada tarikh yang tepat bila Parlimen dibubarkan, ia boleh membuat persiapan awal seperti menempah dewan dan melatih petugas. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Cadangan supaya penggal Parlimen mempunyai tarikh tetap untuk dibubarkan adalah baik dan praktikal, kata Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun.

Beliau berkata, cadangan itu dapat membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan tugasnya seperti dari segi penjimatan kos dan persiapan dalam menghadapi pilihan raya.

Bekas pengerusi SPR itu berkata, jika SPR ada tarikh tepat bila Parlimen dibubarkan, suruhanjaya itu boleh mula membuat persiapan awal seperti menempah dan menyewa dewan yang diperlukan.

“Ini secara praktikal bukan politik. Kita boleh mula memperuntukkan sekolah mana yang hendak digunakan (sebagai pusat mengundi), menyewa dan menempah dewan, melatih petugas dan beli bekalan diperlukan.

“Jika kita memulakan latihan terlalu awal, mereka (petugas) akan lupa apa yang diajar, dan kita perlu membuat latihan semula,” katanya ketika ditemui selepas majlis ramah mesra bersama media di Parlimen.

Azhar berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai cadangan supaya sistem Parlimen tetap diperkenalkan di negara ini.

Dalam pada itu, Azhar berkata, jika pilihan raya mengejut dibuat, banyak kesan yang berlaku.

Beliau berkata, sebagai contoh sebelum ini SPR pernah terpaksa membayar pampasan selepas dewan yang ingin digunakan telah ditempah untuk majlis perkahwinan.

“Ada satu ketika di mana dewan itu kami perlu gunakan telah ditempah untuk majlis perkahwinan dan sebagainya.

“Mereka terpaksa menangguhkan perkahwinan dan SPR terpaksa membayar pampasan kepada mereka kerana menyewa dewan ini (untuk pilihan raya),” katanya.

Azhar berkata, dari sudut pandangan suruhanjaya itu, ini juga akan memberi manfaat besar kepada agensi itu.

“Jika ada pilihan raya mengejut, kita tidak tahu bila hendak mula membuat persediaan.

“SPR juga tidak akan mempunyai kuasa tawar-menawar dari segi harga sesuatu barang yang hendak digunakan pada pilihan raya. Mahu atau tidak, kita perlu mengadakan pilihan raya 60 hari selepas Parlimen dibubarkan,” katanya.

Bajet 2023

Dalam perkembangan lain, Azhar berkata Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2023 atau Bajet 2023 yang dijadual dibentang Jumaat depan, perlu dibentangkan semula di Parlimen jika ia belum diluluskan kerana pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Azhar menjelaskan, kerajaan baharu yang terbentuk selepas PRU perlu membentangkan semula RUU itu, bagi bacaan kali pertama dan seterusnya.

“Kalau ada pilihan raya, akan ada satu kerajaan yang baharu. Maka kerajaan baharu perlu buat bacaan pertama semula. Sebab ini belanjawan, ia tidak mengikat kerajaan.

“Dia akan ada bacaan pertama yang baharu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata jika kerajaan baharu nanti ingin menggunakan Bajet 2023 yang telah dibentang, ia boleh digunakan.

“Bukan tak boleh guna. Boleh guna kalau nak guna. Kalau kerajaan baharu nak guna, gunalah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.