Bagaimana unit jenayah seksual polis guna peruntukan RM13 juta, soal Ahli Parlimen

Bagaimana unit jenayah seksual polis guna peruntukan RM13 juta, soal Ahli Parlimen

Kasthuri Patto mahu perincian selepas Parlimen diberitahu sejumlah 100 pegawai baharu diambil untuk Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), tahun ini.

Ahli Parlimen DAP Kasthuri Patto mendakwa pegawai penyiasat D11 juga mengendalikan tugas harian lain. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen DAP ingin tahu bagaimana RM13 juta diperuntukkan untuk Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, telah digunakan sepanjang tahun ini.

Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto, berkata dana itu telah diperuntukkan dalam Bajet 2022 untuk menggerakkan 100 pegawai bagi memantau dan mengendalikan jenayah seksual terhadap kanak-kanak, memandangkan terdapat kekurangan tenaga kerja dalam unit itu, tahun lalu.

Beliau berkata, semasa persidangan Dewan Rakyat lalu, dari Julai hingga Ogos, beliau diberitahu Kementerian Kewangan telah meluluskan pengambilan 100 pegawai dan kakitangan, pada Jun.

Katanya, beliau juga ingin tahu sama ada dana itu digunakan untuk menempatkan pegawai di seluruh negara selain berapa ramai sudah dikerah ke setiap negeri.

“Jika dihitung, pertambahan 100 pegawai bagi D11 akan menyaksikan setiap negeri menerima tujuh pegawai yang mempunyai kepakaran dan pengalaman mengendalikan kes D11,” katanya dalam kenyataan.

“Bagi negeri seperti Perlis, tujuh pegawai D11 adalah sesuatu yang boleh dibanggakan, tetapi adakah tujuh cukup untuk Pahang, Sabah atau Sarawak, di mana pedofilia Alladin Lanim ditangkap?”

Semalam, Ketua Penolong Pengarah D11 Siti Kamsiah Hassan, berkata bahagian itu telah menerima laporan berkala mengenai jenayah seksual melibatkan pornografi kanak-kanak.

Beliau berkata, pihaknya menerima 24 laporan mengenai jenayah seksual pada 2020, meningkat kepada 35, tahun lalu. Sementara itu, 11 laporan dibuat dari Januari hingga April, tahun ini.

Kasthuri menggesa Siti Kamsiah mendedahkan jumlah tangkapan berdasarkan laporan dibuat sejak 2020 dan berapa ramai disabit kesalahan atau dilepaskan.

“Apabila kadar sabitan rendah, terdapat ketidakpercayaan besar oleh masyarakat dalam sistem yang mesti diperbaiki.”

“Realiti di lapangan ialah pegawai penyiasat mengendalikan kes D11 sekarang turut menjalankan penyiasatan harian mereka dan bukannya pegawai terlatih khas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.