Hamid Bador calon terbaik di Rembau, kata GTA

Hamid Bador calon terbaik di Rembau, kata GTA

Bagaimanapun Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan Mohamad Jani Ismail berkata hanya Dr Mahathir Mohamad dapat memujuk bekas KPN itu bertanding.

Dilaporkan bekas ketua polis negara Abdul Hamid Bador antara tokoh terkemuka yang disebut-sebut menjadi calon pada PRU15. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Gerakan Tanah Air (GTA) menganggap Abdul Hamid Bador sebagai tokoh terbaik untuk menjadi calonnya bagi “menyelamatkan negara” pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail, berkata beliau sememangnya menginginkan Hamid bertanding di Parlimen Rembau, namun hanya Dr Mahathir Mohamad yang dapat memujuk Hamid bertanding.

“Saya ada memberikan pandangan kepada Timbalan Pengerusi GTA Mukhriz Mahathir. Kalau GTA mahu menang dan kembali selamatkan negara, Hamid adalah orangnya.

“Memang ada usaha ke arah itu (jadikan Hamid calon) tetapi yang boleh ‘pujuk’ beliau hanya Mahathir seorang sahaja,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Beliau berkata, GTA perlu mengetengahkan individu mempunyai nama besar bagi mencipta kejutan pada PRU15.

“Di Rembau bukan senang untuk kalahkan Mohamad Hasan, tetapi kami perlu ada strategi bagaimana mahu ‘langgar’.

“Jika diletakkan Hamid, tentu ada peluang dan tembok itu boleh dipecahkan,” katanya.

Katanya, walaupun Hamid bukan ahli Pejuang tetapi GTA memberi ruang kepada semua, termasuk pemimpin badan bukan kerajaan (NGO), badan profesional serta individu tertentu yang mempunyai nama besar.

Semalam, media melaporkan Hamid antara tokoh terkemuka yang disebut-sebut menjadi calon pada PRU15.

Hamid yang menetap di Rembau dan kini aktif dalam bidang pertanian selepas bersara mempunyai hubungan baik dan setia dengan Mahathir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.