
“Sebagai salah seorang anggota JKPK tersebut, saya amat kecewa kerana ia tidak mempunyai keinginan politik dan kepimpinan yang baik untuk berfungsi dengan berkesan,” kata Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Kota Melaka Khoo Poay Tiong dalam kenyataan.
“Isu-isu berkepentingan awam, seperti skandal pemilikan saham Tan Sri Azam Baki, masih gagal diselesaikan dan tidak berjaya diteliti oleh JKPK ini.”
Katanya, sudah lebih lapan bulan berlalu sejak JKPK tersebut memanggil Azam Baki untuk menjawab mengenai skandal itu, namun ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu masih belum tampil di hadapan jawatankuasa.
Pengerusi jawatankuasa, Ahli Parlimen Kuala Krai Latiff Abdul Rahman membatalkan mesyuarat selepas Azam menulis surat menyatakan sebab beliau enggan hadir.
Khoo berkata, jawatankuasa itu hanya bersidang tiga kali tahun ini, yang kebanyakannya diisi oleh taklimat dan pembentangan biasa agensi kerajaan.
Beliau juga kecewa cadangannya untuk memanggil SPRM memberi taklimat kepada jawatankuasa mengenai isu kapal tempur pesisir (LCS) tidak diterima oleh Latiff.
Kementerian Pertahanan memberikan kontrak RM9 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd untuk enam LCS sebagai sebahagian daripada pelan pembaharuan armada tentera laut pada 2011. Kapal pertama dijadualkan dihantar menjelang April 2019, namun sehingga kini, tiada satu pun kapal itu dihantar.
Khoo turut menyenaraikan cadangan yang diberinya untuk memperkasa jawatankuasa itu, termasuk menyemak semula dan membaharui skop tugasnya.
Katanya, skop tugas jawatankuasa itu terlalu meluas, merangkumi banyak agensi dan isu, menyebabkan ia gagal berfungsi dengan berkesan kerana “tiada fokus jelas”.
Khoo juga berkata, peranan pengerusi JKPK harus dijelaskan.
“Seseorang pengerusi tidak boleh bertindak atau membuat keputusan secara sendiri tanpa persetujuan daripada ahli-ahli JKPK,” katanya.
Selain itu, katanya, Dewan Rakyat perlu menetapkan tatacara asas untuk JKPK berfungsi, seperti kekerapan mesyuarat, kehadiran ahli dan proses pelaporan.
“Dewan Rakyat harus menyatakan secara jelas bahawa adalah wajib untuk mana-mana agensi, kumpulan, atau individu yang dipanggil oleh JKPK untuk hadir ke mesyuarat.
“Ketidakhadiran akan dianggap sebagai perbuatan menghina Parlimen,” katanya.