Aktivis puji gesaan PM agar semua negara tempatkan lebih ramai pelarian Rohingya

Aktivis puji gesaan PM agar semua negara tempatkan lebih ramai pelarian Rohingya

Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, ucapan Ismail Sabri Yaakob pada UNGA menekankan keperluan iltizam politik untuk menyelesaikan krisis yang dihadapi golongan Rohingya.

Malaysia menerima hampir 200,000 pelarian Rohingya atas dasar kemanusiaan, menurut Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. (Gambar MMEA)
PETALING JAYA:
Seorang aktivis Rohingya menyambut baik gesaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob agar semua negara melakukan lebih banyak usaha bagi menempatkan pelarian Rohingya.

Zafar Ahmad Abdul Ghani, yang mengetuai Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom) berkata, ucapan Ismail pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) menekankan keperluan iltizam politik untuk menyelesaikan krisis yang dihadapi golongan Rohingya.

“Merhrom mengulangi gesaan yang dibuat oleh perdana menteri kepada negara anggota Konvensyen Pelarian (Konvensyen 1951 Mengenai Status Pelarian) untuk meningkatkan kuota penempatan bagi pelarian Rohingya,” kata Zafar dalam satu kenyataan.

“Kami berharap Malaysia akan terus berunding dengan negara penempatan kerana kami tidak mempunyai penyelesaian yang kukuh.”

Berucap di UNGA pada Jumaat, Ismail berkata, walaupun bukan negara yang menandatangani Konvensyen Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, Malaysia menerima hampir 200,000 pelarian Rohingya atas dasar kemanusiaan.

Beliau menekankan betapa pentingnya dunia menangani punca utama krisis Rohingya dan beliau percaya bahawa isu berkaitan tidak akan diselesaikan selagi krisis di negara tersebut berterusan.

Menurut PBB, lebih sejuta golongan Rohingya telah melarikan diri daripada keganasan di Myanmar dalam gelombang perpindahan berturut-turut sejak awal 1990-an, dengan sebahagian besar daripada mereka ditempatkan di kem pelarian yang luas di Bangladesh.

Katanya, berikutan rampasan kuasa tentera pada Februari 2021, situasi kemanusiaan, hak asasi manusia dan keselamatan di Myanmar merosot dengan cepat, menjadikan keadaan menjadi kurang kondusif untuk pelarian pulang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.