
Tiada apa yang patut dibanggakan menjadi antara Ahli Parlimen termuda di Dewan Rakyat jika beliau gagal memupuk pemimpin lain dalam generasi selepasnya, kata Syed Saddiq.
“Mengapa nak bangga jadi salah seorang Ahli Parlimen termuda jika saya tak dapat bentuk parti yang terdiri daripada pemimpin muda yang lebih bagus daripada saya?” katanya pada majlis makan malam Muda malam tadi.
Syed Saddiq, 29, berkata ahli Muda mempunyai tenaga dan semangat berkobar-kobar untuk menjadikan Malaysia lebih baik. Parti itu membayangkan masa depan yang boleh menyaksikan sesiapa sahaja dapat menjadi perdana menteri.
“Jika saya boleh jadi perdana menteri suatu hari nanti, mengapa tidak wanita, atau seseorang berbangsa India atau Cina?” katanya.
Syed Saddiq berkata, Malaysia hanya boleh berjaya jika setiap rakyat merasakan diri mereka rakan kongsi yang sama rata. Semua rakyat Malaysia mesti dilayan sama rata dan ditadbir dengan penuh integriti, katanya.