
Sunil Kumar, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Melaka, Nariman Badruddin.
Sinar Harian melaporkan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan meraba remaja perempuan berusia 13 tahun di Tingkat 9, The Shore Residences, Jalan Persisiran Bunga Raya, Melaka, 3.30 petang, 12 Sept lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari manakala tertuduh diwakili peguam Pang Wan Si.
Pang kemudian memohon jaminan rendah RM3,000 dengan alasan tertuduh hanya berpendapatan RM1,500 sebulan.
Bagaimanapun, rayuan itu ditolak Nariman kerana permit kerja tertuduh tamat pada 18 Sept lalu dan perlu mengemukakan bukti telah memperbaharui permit kerja daripada Jabatan Imigresen (JIM).
Mahkamah mengarahkan pihak pembelaan mengemukakan rekod pergerakan keluar masuk tertuduh selain status permohonan lanjutan kerja yang perlu dikemukakan dalam tempoh dua minggu.
Selain itu mahkamah juga menetapkan 17 Okt depan sebagai sebutan semula kes.