3,500 doktor ditawar jawatan tetap terkejut diarah kekal di penempatan semasa

3,500 doktor ditawar jawatan tetap terkejut diarah kekal di penempatan semasa

Bekas doktor kontrak itu diberitahu semasa temu duga bahawa mereka mungkin dihantar ke kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak.

 

Pada Februari Khairy Jamaluddin mengumumkan 4,186 pekerja penjagaan kesihatan kontrak akan diserap ke jawatan tetap dalam KKM. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Lebih 3,500 doktor kontrak yang diserap ke dalam jawatan tetap baru-baru ini terkejut apabila diberitahu bahawa mereka akan kekal di tempat mereka berkhidmat apabila cuba menyatakan pilihan penempatan dalam talian.

Semasa ditemu duga pada Jun, pegawai-pegawai perubatan diminta agar bersedia untuk berkhidmat di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak. Mereka secara khusus ditanya oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) sama ada mereka akan menerima tawaran jika dihantar ke kawasan-kawasan tersebut.

Menurut doktor-doktor yang berjaya dalam temu duga itu, mereka mula cuba membuat pilihan penempatan dalam talian pada Selasa, namun terkejut apabila diberitahu mereka akan dikekalkan di tempat mereka berkhidmat sekarang.

“Apabila kami cuba masuk sistem, ia rosak dan kami jadi bimbang. Namun kemudian kami diberitahu bahawa kami akan kekal di tempat kami berada sekarang.

“Kami tidak pasti sama ada ini keputusan muktamad atau disebabkan kerosakan sistem,” kata seorang doktor kepada FMT.

Bagaimanapun, doktor gigi dan ahli farmasi yang berjaya tidak bernasib baik dan perlu membuat pilihan mereka, menurut sumber. Doktor gigi perlu memilih penempatan mereka dari 26 hingga 28 Sept, manakala ahli farmasi dari 29 Sept hingga 2 Okt.

Mereka akan bermula berkhidmat secara rasmi dalam gred baharu pada 17 Okt.

Pada Februari, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa 4,186 pekerja penjagaan kesihatan kontrak akan diserap ke jawatan tetap dalam KKM. Jumlah ini termasuk 3,586 pegawai perubatan, 300 doktor gigi dan 300 ahli farmasi.

Pada Jun, lebih 8,000 pegawai perubatan ditemu duga selepas pegawai kontrak menggesa untuk jawatan tetap. Walaupun KKM tidak memberikan angka yang tepat, terdapat kira-kira 30,000 pegawai kontrak sedang berkhidmat.

Seorang doktor yang tidak berjaya dalam temu duga berkata, beliau mengharapkan berita baik dalam Bajet 2023, yang akan dibentangkan pada 7 Okt, bagi mereka yang menunggu jawatan tetap.

“Jika kerajaan gagal menangani perkara ini, masa menunggu akan menjadi lama, kerana sekurang-kurangnya 3,000 graduan mula berkhidmat setiap tahun.

“Bajet 2023 mesti menangani perkara ini atau akan timbul banyak pergolakan apabila banyak kontrak mereka akan berakhir dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.