
Diketuai bekas ketua Bersih, Ambiga Sreenevasan, warga kota itu menghantar surat menerusi peguam mereka kepada Shahidan untuk meminta perkembangan terkini langkah tebatan banjir yang dijanjikan DBKL kepada ketua audit negara untuk dilaksanakan tahun ini.
Penduduk berkata, mereka akan membawa perkara itu ke mahkamah, jika DBKL dan menteri terbabit gagal memberi maklum balas dalam tempoh lima hari.
Bulan lalu, Jabatan Audit Negara mengeluarkan laporan yang mendedahkan beberapa kegagalan DBKL dalam melaksanakan projek tebatan banjir yang dicadangkan menerusi rancangan induk banjirnya sendiri, kata kumpulan itu dalam kenyataan.
Dalam laporan itu, ketua juruaudit negara merumuskan hanya lapan daripada 104 langkah tebatan banjir yang dicadangkan dalam pelan induk banjir DBKL dilaksanakan atau dalam proses pelaksanaan, kata mereka.
Respons DBKL kepada ketua audit negara ialah 22 lagi langkah tebatan banjir akan dilaksanakan tahun ini.
Penduduk itu berkata, ketua audit negara turut mengenal pasti lima langkah tebatan jangka pendek dalam pelan induk banjir DBKL yang belum dilaksanakan di kawasan berisiko banjir seperti Jalan Tun Razak, Persiaran Ampang Hilir dan Jalan U-Thant setakat Mac lalu.
Mereka berkata, ketelusan berhubung perkara itu penting untuk isu berulang seperti banjir kerana membabitkan kehilangan nyawa, mata pencarian dan harta benda.
Beberapa penduduk itu diwakili peguam Lim Wei Jiet.
Minggu lalu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, kerajaan memperuntukan RM300 juta untuk projek tebatan banjir di Kuala Lumpur sebagai persediaan berdepan musim banjir dalam beberapa bulan akan datang.