
Isnin lalu, Ismail dilaporkan berkata, jika kerajaan dikatakan gagal menguruskan ekonomi dan negara, ia bermakna MPN juga gagal apabila ditugaskan menjadi penasihat kepada kerajaan.
Bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin, Marzuki Mohamad berkata, kuasa eksekutif untuk mengurus ekonomi dan negara terletak pada Kabinet yang dipengerusikan perdana menteri, manakala MPN yang dipengerusikan Muhyiddin sekadar majlis penasihat.
“Ini tidak betul. MPN tidak mempunyai sebarang kuasa eksekutif untuk mengurus ekonomi dan negara. Ia adalah sebuah majlis yang bersifat ‘advisory’.
“Kuasa eksekutif untuk mengurus ekonomi dan negara terletak pada Kabinet yang dipengerusikan oleh perdana menteri,” katanya di Facebook.
Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan berkata, kejatuhan nilai ringgit, kenaikan kadar inflasi dan keadaan ekonomi pasca pandemik memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat, di mana 61% daripada mereka berada dalam kumpulan berpendapatan terkebawah (B60).
Oleh itu, beliau menyarankan Ismail membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15, jika gagal menguruskan ekonomi dan negara dengan baik.
Presiden Bersatu dan pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, mengadakan PRU sekarang akan membolehkan kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dipilih oleh rakyat.
Mengulas lanjut, Marzuki berkata, tahap kepuasan hati rakyat terhadap kedua-dua pemimpin itu yang dijalankan Merdeka Centre for Opinion Research juga menunjukkan angka ketara.
“‘Markah’ purata Muhyiddin sepanjang berkhidmat sebagai perdana menteri ialah 67%. Ini adalah markah lulus dengan baik.
“‘Markah’ atau approval rating perdana menteri (Ismail) menurun secara konsisten dengan purata 45%. Tanpa niat untuk menjatuhkan air muka perdana menteri, markah di bawah paras 50% ini adalah markah gagal.
“Inilah cermin yang patut dilihat oleh Shahril Hamdan,” katanya merujuk kenyataan ketua penerangan Umno itu yang menggesa Muhyiddin “cermin diri” sebelum melemparkan label kegagalan kepada Ismail yang mengambil alih pentadbiran negara selepasnya.