2 sindiket tumpas, polis rampas dadah RM20 juta

2 sindiket tumpas, polis rampas dadah RM20 juta

Dianggarkan 299.33kg dadah bernilai RM20.56 juta dirampas daripada kedua-dua sindiket itu.

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media hari ini. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dan pemprosesan dadah susulan penahanan lima lelaki tempatan dan merampas dadah bernilai RM20.56 juta hasil beberapa serbuan di sekitar Selangor pada 13 dan 15 Sept.

Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed, berkata bagi penahanan sindiket pertama, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor bersama JSJN Bukit Aman menjalankan operasi bermula 6.45 petang, pada 13 Sept dan menahan dua lelaki di sekitar Ampang dan Puchong.

“Dipandu oleh kedua lelaki berkenaan, pada 9.15 malam serbuan dilakukan di sebuah kediaman di Sri Damansara serta menahan seorang lelaki dan menemukan 112 ketulan mampat disyaki heroin base dengan anggaran berat 43.48kg dan 89,500 biji pil Erimin 5 dengan anggaran berat 27.2kg,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Bagi penahanan sindiket kedua, Arjunaidi berkata, hasil kerjasama antara JSJN Selangor, JSJN Johor dan JSJN Negeri Sembilan, pihaknya membongkar kegiatan sebuah makmal memproses dadah di sebuah rumah di Damansara Perdana, Petaling Jaya serta menahan dua lelaki tempatan pada 6.10 petang, 15 Sept.

“Menerusi pemeriksaan dalam rumah tersebut, polis menemukan bahan disyaki dadah iaitu 355 bungkusan heroin base dengan anggaran berat 134.19kg; 54 bungkusan methamphetamine (59.04kg); 20 ketulan mampat daun kering ganja (20kg); 15,830 biji pil Eramin 5 (4.56kg); tujuh bungkusan pil ekstasi (3.19kg) dan enam bungkusan kafein (6.12kg).

“Turut dirampas barang-barang bagi memproses dadah antaranya lapan balang kaca mengandungi cecair disyaki dadah dianggarkan seberat lapan liter, sebuah mesin memproses dadah dan corong besi,” katanya.

Secara keseluruhan, Arjunaidi berkata, dianggarkan sekitar 299.33kg dadah bernilai RM20.56 juta dirampas daripada kedua-dua sindiket berkenaan selain turut menyita dua kereta, lima motosikal dan wang tunai berjumlah RM152,001.

Semua suspek berusia 23 hingga 35 tahun kini direman tujuh hari, sehari selepas ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.