Kad pelarian sukar diragui, banyak ciri keselamatan, kata UNHCR

Kad pelarian sukar diragui, banyak ciri keselamatan, kata UNHCR

Jurucakap Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berkata pelarian perlu menjalani prosedur ketat dan tidak diberi kad pelarian secara automatik.

Menurut UNHCR, ia mengikut peraturan yang ditetapkan sebelum mengeluarkan kad pelarian. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kad pelarian hanya dikeluarkan kepada pemohon sah, kata agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas seorang pegawai Imigresen mendakwa segelintir Rohingya yang membayar untuk masuk ke negara ini telah memperoleh kad itu dengan segera.

Jurucakap agensi pelarian PBB itu berkata, pelarian yang hadir ke pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak mendapat kad pelarian secara automatik.

Yante Ismail berkata mereka perlu menjalani prosedur yang ketat untuk memenuhi definisi pelarian PBB.

Katanya, UNHCR telah membuat “pelaburan besar” dalam mengetatkan prosedurnya dan memastikan integriti dokumennya.

“Kad UNHCR mengandungi 10 ciri keselamatan yang dipertingkatkan, termasuk hologram 1D, kod bar dan kod tindak balas pantas yang selamat, disokong oleh pengumpulan data biometrik di pejabat UNHCR, yang termasuk iris dan pengimbasan 10 jari.

“Semua usaha ini bertujuan untuk melindungi pelarian dengan lebih baik, menangani kebimbangan kerajaan mengenai keselamatan dan memastikan integriti proses suaka. Ini adalah sesuatu yang UNHCR memandang serius di seluruh dunia termasuk di Malaysia,” tambahnya.

Yante juga menyatakan bahawa semua perkhidmatan UNHCR di Malaysia, termasuk pengeluaran kadnya kepada pencari suaka dan pelarian, adalah percuma.

Ketika membuat dakwaan itu minggu lalu, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membentuk jawatankuasa untuk meneliti perkara itu.

Aktivis hak asasi manusia sejak itu menuntut Khairul memberikan bukti untuk menyokong dakwaannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.