
(Gambar Reuters)
Sambil menyifatkan sektor itu sebagai yang pertama dilanda wabak dan yang terakhir pulih, Presiden Matta Tan Kok Liang berkata, banyak perniagaan mengalami kerugian bercukai sejak dua tahun lepas.
Beliau mencadangkan satu lagi program subsidi gaji untuk membantu perniagaan membayar gaji minimum RM1,500 yang baru diperkenalkan.
“Bagaimana pengusaha penginapan bajet, agensi pelancongan atau rumah persinggahan di pedalaman akan mampu membayar (gaji minimum) RM1,500 apabila sempadan antarabangsa pasaran utama seperti China masih ditutup?” soalnya sambil mencadangkan kerajaan memberikan subsidi bulanan kepada setiap pekerja.
Memandangkan perjalanan antarabangsa masih kurang berbanding dengan zaman sebelum wabak, Tan turut menggesa agar insentif cukai diberikan kepada rakyat Malaysia yang melancong dalam negara.
“(Selain) memberikan pelepasan cukai hanya untuk (perbelanjaan) perubatan dan pendidikan, kerajaan boleh mempertimbangkan pelepasan cukai peribadi untuk pakej hotel, pelancongan dan penerbangan,” katanya.
Walaupun terdapat inisiatif sepanjang wabak bertujuan membantu sektor pelancongan, menurut Tan, kebanyakannya berbentuk penangguhan cukai.
“Namun apabila tiada pendapatan, apa yang dapat dicukai?
“Jadi untuk Bajet 2023, (kerajaan) sepatutnya melihat kepada lebih banyak subsidi dan pembiayaan untuk pengusaha pelancongan, hotel dan perniagaan berkaitan pelancongan yang lain,” katanya.
Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia menggesa kerajaan melaksanakan cadangan yang telah dikemukakan oleh peserta industri, khususnya mengenai pengawalseliaan ejen pelancongan dalam talian dan penginapan jangka pendek.
Presiden persatuan itu, Sri Ganesh Michiel berkata, operasi berterusan penginapan jangka pendek yang tidak terkawal menjadi ancaman kepada hotel dan industri hospitaliti.
“Kerajaan juga kehilangan banyak hasil cukai disebabkan perniagaan tidak berlesen ini kerana mereka tidak diwajibkan dari segi undang-undang untuk membayar cukai jualan dan perkhidmatan, cukai pelancongan mahupun sebarang bayaran yang dikenakan oleh kerajaan negeri,” katanya.
Mengenai kawalan ejen pelancongan dalam talian, Ganesh berkata, pengusaha hotel mengalami kerugian dan pendapatan berkurangan apabila memadankan harga yang ditawarkan oleh ejen.
Kerajaan juga terjejas secara langsung kerana penurunan kadar harga bilik turut mengurangkan kutipan cukai perkhidmatan.
“Jika kerajaan gagal memenuhi tuntutan peserta industri, industri pelancongan tidak akan pulih kerana perniagaan tidak akan dapat menampung dirinya,” kata Ganesh.