9 pelajar mengaku tidak bersalah cederakan 3 rakan

9 pelajar mengaku tidak bersalah cederakan 3 rakan

Mereka didakwa menumbuk dan menyepak tiga mangsa berusia 15 tahun di asrama sebuah sekolah pada 23 Ogos lalu.

Sembilan pelajar didakwa di Mahkamah Majistret Kemaman kerana mencederakan tiga rakan mereka di sebuah sekolah berasrama di Kemaman 26 Ogos lalu. (Gambar Bernama)
KEMAMAN:
Sembilan pelajar lelaki sebuah sekolah menengah berasrama di sini didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tiga rakan mereka bulan lalu.

Kesemua mereka berumur 16 tahun itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan dengan menumbuk dan menyepak ketiga-tiga mangsa yang berusia 15 tahun di asrama sekolah tersebut pada 11.30 malam, 23 Ogos lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azhani Azman manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Akmal Wahidah Abd Halim.

Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin antara RM2,000 hingga RM5,500 setiap seorang dan menetapkan 12 Okt ini untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.